LAHAD DATU: Daerah Lahad Datu dikenal pasti berpotensi tinggi sebagai lokasi strategik bagi pembangunan tapak pelancaran roket atau satelit untuk rantau Asia Tenggara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan penilaian dan kajian akhir yang dijalankan kerajaan negeri bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Lahad Datu didapati sebagai lokasi paling sesuai bagi projek berimpak tinggi itu.
“Insya-Allah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, jika tiada halangan, Lahad Datu berpotensi menjadi pusat pelancaran roket atau satelit bagi Asia Tenggara.
“Perkembangan ini dijangka menarik kehadiran pelancong serta komuniti saintifik antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana, di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, walaupun terdapat beberapa negeri lain yang turut berminat untuk menjadi lokasi tapak pelancaran, dapatan kajian menunjukkan Lahad Datu mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kedudukan geografi dan kesesuaian teknikal.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus mempergiat pembangunan di Lahad Datu, selari dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat setempat.
“Kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas dalam memacu pembangunan dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh,” katanya. Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersatu padu serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan kestabilan dan kemajuan negeri.

