TENOM: Pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya tahan perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata pembangunan infrastruktur tenaga dan jaringan jalan raya yang cekap bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembukaan lebih banyak peluang pembangunan di kawasan terlibat.
Menurutnya, pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan projek pembangunan juga penting bagi memastikan setiap projek berjalan mengikut perancangan, memenuhi piawaian ditetapkan serta dapat disiapkan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Beliau berkata, sebarang isu atau kekangan yang timbul sepanjang pelaksanaan projek perlu dikenal pasti lebih awal supaya tindakan penyelesaian dapat diambil dengan sewajarnya.
Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, berkata demikian sempena lawatan kerja selama dua hari ke Tenom dan Keningau bermula 12 Oktober bagi meninjau perkembangan beberapa projek infrastruktur utama, khususnya dalam sektor tenaga dan kemudahan jalan raya.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memastikan projek pembangunan dilaksanakan secara teratur, selain menilai kemajuan kerja serta cabaran yang dihadapi di tapak projek.
Beliau memulakan lawatan di ibu pejabat CCCC-CWE di Kemabong, Tenom, dengan menghadiri sesi taklimat oleh Upper Padas Power Sdn Bhd mengenai perkembangan pelaksanaan Projek Hidroelektrik Upper Padas.
Selepas sesi taklimat, Joachim turut meninjau kawasan tapak projek termasuk terowong akses (access tunnel), bagi melihat sendiri perkembangan kerja pembinaan serta mendapatkan penjelasan mengenai aspek teknikal dan cabaran pelaksanaannya.
Projek hidroelektrik berkenaan merupakan antara inisiatif pembangunan tenaga yang penting dalam usaha memperkukuh kapasiti dan keandalan bekalan elektrik Sabah bagi memenuhi keperluan pengguna serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan.
Selesai lawatan di Kemabong, Joachim meneruskan tinjauan ke Keningau bagi meneliti perkembangan Projek Menggantikan Pembetung kepada Jambatan Kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau.
Lawatan ke tapak projek itu membolehkan beliau menilai keadaan semasa serta mendapatkan maklumat mengenai pelaksanaan kerja, khususnya aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Projek berkenaan turut mencerminkan kepentingan penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya bagi memastikan jaringan pengangkutan yang lebih selamat serta berdaya tahan.
Lawatan kerja yang berlangsung pada 12 hingga 13 Oktober itu turut merangkumi beberapa projek infrastruktur dan kemudahan asas lain di daerah Keningau.

