Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Program kreatif NGO perkukuh perpaduan masyarakat

Nizam ditemui media selepas merasmikan Festival Ramadan Raya 2026 anjuran Asmah Kadir Empire.

TAWAU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah digesa tampil dengan idea kreatif dalam penganjuran program komuniti bagi memperkukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penganjuran Festival Ramadan Raya Sabah 2026 oleh NGO AsmahKadir Empire wajar dijadikan contoh kepada pertubuhan lain.

Menurutnya, kreativiti dalam pelaksanaan program mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menggalakkan kerjasama dan memupuk sikap hormat-menghormati.

“Saya berharap usaha seperti ini dapat dicontohi oleh NGO lain di Tawau dan seluruh Sabah kerana ia mampu mengeratkan hubungan komuniti serta memperkukuh perpaduan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Festival Ramadan Raya Sabah 2026, di sini, pada Jumaat.

Nizam berkata festival berkenaan, yang kini memasuki tahun kelima penganjuran sejak 2022, semakin mendapat sambutan dan menjadi antara program yang dinanti-nantikan masyarakat setempat.

Katanya, antara tarikan utama ialah pertandingan pintu gerbang raya yang bukan sahaja mencungkil kreativiti, malah berjaya merapatkan hubungan dalam kalangan komuniti kampung.

“Program ini memberi impak positif apabila masyarakat menjadi lebih akrab dan saling mengenali, di samping menzahirkan kreativiti dalam memperindahkan kawasan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran jelajah Khatam al-Quran yang diadakan buat kali kedua tahun ini turut mendapat sambutan menggalakkan apabila merentasi 15 daerah di Sabah.

“Program ini bukan sahaja mendekatkan golongan muda dengan agama, malah memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Nizam memberi jaminan akan terus menyokong penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang. Beliau berkata inisiatif berterusan NGO dalam menganjurkan program kreatif diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Sabah.

Exit mobile version