KUALA LUMPUR:Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bagi membincangkan cadangan membangunkan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas (SEZ) BIMP-EAGA.
Ewon berkata cadangan berkenaan — yang turut dibangkitkannya ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini — merupakan antara langkah strategik untuk memperkukuh sektor perindustrian Sabah, di samping meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
“Saya menghargai sokongan beliau terhadap cadangan ini serta kesediaannya untuk mengadakan kunjungan ke Sabah bagi membincangkan lebih lanjut pembangunan POIC Lahad Datu sebagai Zon Ekonomi Khas BIMP-EAGA.
“Perbincangan lanjut itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan industri dan pelaburan antarabangsa di POIC Lahad Datu,” katanya selepas pertemuan di pejabat Johari di Parlimen, hari ini.
Turut menyertai pertemuan itu Ahli Parlimen Tuaran merangkap Pengerusi POIC Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Dalam pertemuan sama, Ewon turut membangkitkan permohonan berkaitan cadangan pembangunan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) oleh Esteel Sabah di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menurutnya, cadangan pembangunan pusat data berkenaan memerlukan kelulusan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Esteel Sabah diwakili Pengarah Negaranya, Nick Xu, pada pertemuan tersebut.
Ewon berharap kerjasama dan perbincangan susulan bersama MITI dapat mempercepat pembangunan sektor perindustrian Sabah, meningkatkan nilai tambah industri serta membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.
Beliau berkata usaha itu juga penting bagi memperkukuh daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.

