KOTA MARUDU: Sambutan Pesta Kaamatan kekal relevan sebagai medium penting dalam menyatukan rakyat serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, semangat perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negeri ini terus disemarakkan menerusi sambutan perayaan berkenaan.
Menurutnya, tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ amat signifikan dalam menggambarkan kehidupan rakyat Sabah yang hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan bersatu padu walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
“Kaamatan bukan sahaja perayaan tradisi masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut, tetapi telah menjadi simbol perpaduan seluruh rakyat Sabah.
“Kita meraikan keharmonian yang dinikmati di Sabah dan menuai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu di Pentas Terbuka Padang Kota Marudu, pada Ahad.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, perpaduan yang dinikmati rakyat Sabah ketika ini merupakan kekuatan sebenar negeri yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, sambutan Kaamatan perlu dijadikan platform untuk memperkukuh hubungan masyarakat selain memelihara adat, budaya dan nilai warisan yang menjadi identiti rakyat Sabah sejak sekian lama.
Katanya, semangat kebersamaan yang ditunjukkan masyarakat di Kota Marudu membuktikan perpaduan mampu menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan daerah serta negeri secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru generasi muda agar terus menghargai budaya dan tradisi warisan sambil mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan dengan semangat perpaduan serta jati diri yang kukuh.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang sambutan Kaamatan daerah itu termasuk pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi, persembahan kebudayaan, pertandingan pameran agensi kerajaan, jualan produk tempatan serta pelbagai aktiviti melibatkan komuniti setempat.

