BONGAWAN:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan bahawa Sabah mesti mempertahankan hak negeri tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap negara Malaysia yang dibina atas semangat Persekutuan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan Sabah terus maju dalam kerangka pentadbiran negara.
“Kita pertahankan hak negeri, tetapi dalam masa sama kita juga harus pertahankan negara. Kerjasama Sabah dengan Kuala Lumpur amat penting kerana Persekutuan mentadbir negara, dan negara ini milik semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, pada Isnin di sini.
Dalam ucapannya, Hajiji turut berkongsi kejayaan kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah menyalurkan RM1.3 bilion bagi sektor pendidikan dalam tempoh empat tahun setengah lalu, memberi manfaat kepada hampir setengah juta pelajar Sabah.
“Dulu biasiswa hanya sekitar RM40 hingga RM50 juta setahun, tetapi kini kita telah meluluskan RM145 juta. Ini hasil kejayaan mentadbir negeri dengan baik dan meningkatkan hasil negeri daripada RM4–5 bilion kepada RM7.5 bilion setahun,” katanya.
Beliau menegaskan, peningkatan itu membolehkan kerajaan negeri mengembalikan hasil kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan, bantuan tunai dan pembangunan infrastruktur.
Hajiji menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan hanya mengumumkan projek tanpa hasil yang nyata.
“Memang mereka tidak rasa kerana manfaatnya hanya dirasai rakyat. Walaupun tidak semua dapat dibantu, namun jumlah penerima kini paling ramai dalam sejarah,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan fitnah atau retorik pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).
“Jangan tertipu dengan retorik berapi-api mereka. Cakap macam jual ubat, pusing-pusing tapi ubat itu tidak sembuhkan sakit rakyat. Rakyat perlukan kerajaan yang benar-benar membela mereka,” tegasnya.
Dalam majlis itu, Hajiji turut mengumumkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman, sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU17 Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.
Beliau yakin Bongawan akan kembali menjadi milik GRS sekiranya rakyat memberikan sokongan padu kepada gabungan itu.
“Jika kita bersatu, saya yakin Bongawan akan kembali kepada kerajaan. Kita mahu Bongawan dimajukan seiring dengan slogan Bongawan Maju,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan keyakinan bahawa GRS mampu mengekalkan mandat rakyat dan membentuk kerajaan selepas PRU17, sekali gus memastikan kesinambungan pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Jika diberi mandat semula, lebih banyak program ekonomi dan kebajikan rakyat akan dilaksanakan lima tahun akan datang. Kestabilan politik penting supaya pembangunan dapat diteruskan,” katanya.
— TAMAT

