KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan bayaran sebanyak RM3.019 bilion kepada Sabah melibatkan dua komponen cukai yang tidak dipertikaikan, iaitu cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai tidak langsung Jabatan Kastam.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah tersebut merupakan 40 peratus daripada keseluruhan hasil cukai berjumlah RM7.547 bilion bagi tahun 2025.
Menurutnya, kedua-dua komponen cukai itu tidak menjadi pertikaian kerana data kutipan disiarkan secara terbuka setiap tahun.
“Kerajaan negeri berpendirian bahawa jumlah cukai yang tidak dipertikaikan ini wajar dibayar terlebih dahulu, manakala baki komponen lain boleh dimuktamadkan melalui rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Masidi memaklumkan, kerajaan negeri telah mengemukakan surat bertarikh 10 April 2026 kepada Kerajaan Persekutuan bagi menuntut bayaran interim berdasarkan 40 peratus daripada dua komponen cukai berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Pembantu Menteri Kewangan Sabah,Datuk Chong Chen Bin berkata, beberapa komponen hasil telah dikenal pasti dalam rundingan, termasuk cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai serta hasil petroleum.
Menurutnya, beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah telah diadakan pada 28 Januari, 27 Februari dan 13 Mac 2026.
“Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan sebahagian data hasil dari 1974 hingga 2025, namun data itu terhad untuk tujuan mesyuarat dan tidak boleh disiarkan secara umum,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui surat bertarikh 18 Mac 2026 menegaskan supaya komponen hasil yang tidak dipertikaikan dibayar terlebih dahulu sebagai bayaran interim, manakala baki yang masih dipertikaikan akan dimuktamadkan kemudian.
Selain itu, katanya, amaun interim Pemberian Khas sebanyak RM600 juta bagi 2026 perlu disemak semula agar selaras dengan formula 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April 2026 yang membenarkan penangguhan pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah sementara menunggu proses rayuan.
Katanya, keputusan itu melibatkan tuntutan bagi tempoh 1974 hingga 2021 atau ‘lost years’.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri menegaskan bahawa tuntutan bagi tempoh 2022 hingga 2025 serta tahun semasa perlu dibayar selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang tidak dirayu oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Chong menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam menuntut hak Sabah, sebaliknya akan terus memperkukuh rundingan serta proses penilaian melalui jawatankuasa berkaitan.

