Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Perpaduan, kestabilan dan integriti tiga tonggak hala tuju baharu PBS

KEPIMPINAN BAHARU: Joachim bersama barisan kepimpinan PBS pada Kongres PBS Ke-41 — parti itu mahu bergerak ke arah organisasi yang lebih moden dan inklusif tanpa meninggalkan asas perjuangannya.

KOTA KINABALU:Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu memasuki era baharu dengan memperkukuh perpaduan, kestabilan dan integriti sebagai tiga tonggak utama dalam usaha memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, berkata PBS tidak boleh bergantung semata-mata kepada sejarah perjuangannya selama 41 tahun, sebaliknya perlu berani melakukan pembaharuan bagi memenuhi perubahan zaman dan aspirasi generasi baharu.

“Parti yang berusia 41 tahun tidak semestinya parti yang tua. Parti menjadi tua apabila cara berfikirnya tidak berubah.

“Parti menjadi lemah apabila cawangannya tidak bergerak, dan parti menjadi tidak relevan apabila pemimpinnya berhenti mendengar rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PBS Ke-41, baru-baru ini.

Joachim berkata, kongres berkenaan perlu menjadi titik permulaan kepada bab baharu PBS menerusi pengukuhan struktur parti, pendigitalan pengurusan, pembangunan pelapis kepimpinan serta penghasilan dasar yang lebih berorientasikan masa depan.

Pada masa sama, PBS mahu memperluas penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang termasuk KDM, Melayu dan Bumiputera Islam, Cina, golongan profesional, usahawan, wanita serta generasi muda.

“PBS bukan milik satu kaum. PBS milik semua yang percaya kepada perjuangan Sabah,” katanya.

Mengenai kedudukan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joachim menegaskan PBS akan terus menjadi rakan yang setia, konstruktif dan berprinsip dalam memastikan kestabilan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata komitmen terhadap gabungan itu tidak bermakna PBS akan kehilangan identiti atau pendiriannya dalam isu yang membabitkan kepentingan Sabah.

“Kita akan menyokong kestabilan Kerajaan Negeri sambil terus bersuara mengenai kepentingan Sabah, MA63, pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Joachim turut menegaskan perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil, akan terus menjadi antara teras perjuangan PBS.

Menurutnya, selagi masih terdapat perkara berkaitan MA63 yang belum diselesaikan, PBS akan terus menyuarakan hak dan kepentingan Sabah menerusi kerangka Perlembagaan serta proses rundingan.

“Hak Sabah bukan hadiah. Hak Sabah adalah hak yang telah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk,” katanya.

Beliau berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam perkara yang memberi manfaat kepada Sabah, namun tetap menyatakan pendirian apabila kepentingan negeri perlu dipertahankan.

Dalam usaha memastikan PBS terus relevan, Joachim berkata parti itu akan memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem keahlian dan pangkalan data, memperkemas komunikasi antara kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan, serta meningkatkan pengurusan pilihan raya.

Program pembangunan kepimpinan seperti Political Cadet atau Akademi Kepimpinan PBS juga mahu diperkasakan bagi mengenal pasti dan melatih pemimpin muda dalam bidang politik, dasar awam, komunikasi, ekonomi serta pengurusan pilihan raya.

Pada masa sama, peranan badan pemikir parti akan diperkukuh bagi menghasilkan cadangan penyelesaian terhadap isu termasuk MA63, ekonomi Sabah, pendidikan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar, teknologi dan tenaga.

Joachim berkata, generasi muda perlu diberikan ruang lebih luas untuk mencetuskan idea dan memimpin perubahan, bukan sekadar menjadi pelaksana program.

“Kita tidak boleh mengharapkan generasi muda menyokong PBS hanya kerana sejarah 1985.

“Mereka mahu tahu apakah yang PBS boleh lakukan untuk masa depan mereka,” katanya.

Joachim turut mengingatkan kepimpinan dan akar umbi bahawa jawatan dalam parti bukan hadiah, sebaliknya amanah yang menuntut pemimpin turun padang, mendengar permasalahan rakyat dan membantu mencari penyelesaian.

Menurutnya, kekuatan PBS tidak boleh bergantung kepada Presiden atau Majlis Tertinggi semata-mata, tetapi perlu bermula daripada ahli, cawangan dan bahagian yang aktif.

“PBS mesti menjadi parti yang aktif, relevan dan konsisten. Kita mesti hadir bersama rakyat setiap hari, bukan hanya ketika pilihan raya.

“PBS yang kuat bermula daripada ahli yang bersatu, cawangan yang aktif dan pemimpin yang bekerja,” katanya.

Joachim turut merakamkan penghargaan kepada bekas Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili, serta pengasas dan Presiden pertama PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, atas sumbangan mereka dalam membina dan meneruskan perjuangan parti.

Beliau berkata, kepimpinan baharu akan meneruskan perkara yang baik, memperbaiki kelemahan serta melakukan pembaharuan tanpa melupakan sejarah dan asas perjuangan PBS.

“Perpaduan memberikan kita kekuatan. Kestabilan memberikan kita kemajuan. Integriti memberikan kita kepercayaan,” katanya.

Exit mobile version