KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah perlu terus komited memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan, inklusif serta memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat, kata Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Beliau berkata, tumpuan penting harus diberikan kepada usaha memperkasakan infrastruktur, menyelesaikan isu-isu berlarutan yang dihadapi negeri serta meningkatkan kebajikan dan kualiti hidup rakyat.
Pada masa sama, katanya, Sabah juga perlu terus menarik pelaburan berkualiti serta mewujudkan persekitaran ekonomi yang kondusif bagi merancakkan pertumbuhan negeri.
“Pembangunan sektor utama seperti perkilangan, pelancongan dan pertanian perlu terus diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan ekonomi serta menjamin kemakmuran jangka panjang,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026 di sini, hari ini.
Tun Musa menegaskan bahawa perpaduan rakyat kekal sebagai kekuatan terbesar Sabah, dengan kepelbagaian kaum dan agama yang perlu sentiasa dihargai serta dipelihara.
“Saya menyeru golongan yang lebih berkemampuan supaya terus mempertingkat amalan kebajikan dengan membantu mereka yang memerlukan, terutamanya golongan rentan dan berpendapatan rendah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat menjadikan kedatangan tahun baharu sebagai ruang bermuhasabah serta memperbaharui tekad untuk terus maju ke hadapan.
“Permulaan tahun baharu adalah peluang menilai pencapaian, menginsafi cabaran lalu serta menetapkan iltizam menuju kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
Tun Musa turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan negara yang sentiasa berkorban demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negeri.
“Pengorbanan, jasa dan dedikasi mereka amat dihargai serta akan sentiasa dikenang,” katanya.
Beliau berharap Tahun 2026 akan membawa lebih banyak kemajuan, keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada Malaysia, khususnya Sabah.
Dengan semangat perpaduan, kebijaksanaan serta usaha berterusan semua pihak, katanya, Sabah diyakini mampu melangkah lebih jauh ke arah masa depan yang lebih cerah.
— TAMAT
