KUALA LUMPUR — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, mengesahkan bahawa perbincangan pertama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menentukan kadar sebenar hak 40 peratus negeri itu akan berlangsung pada Isnin minggu depan.
Menurut beliau, keputusan penting itu selaras dengan ketetapan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 November lalu, susulan taklimat Jabatan Peguam Negara berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus di bawah Perkara 112C(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Armizan menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menerima dan menghormati keputusan mahkamah, termasuk tidak akan memfailkan rayuan terhadap pengiktirafan hak 40 peratus tersebut — sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pentadbiran Persekutuan sebelum ini.
Beliau berkata, keputusan itu membuktikan komitmen serius Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab perundangan dalam menentukan amaun Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri turut memutuskan agar rundingan dengan Kerajaan Sabah dimulakan serta-merta di peringkat pegawai, memandangkan Sabah kini berada dalam tempoh kerajaan penjaga (caretaker).
Delegasi Persekutuan akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, manakala pasukan Sabah dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
“Mesyuarat pertama ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi dan memastikan hak Sabah di bawah perlembagaan dihormati sepenuhnya,” kata Armizan pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mesyuarat rundingan pegawai Persekutuan–Sabah dijadual berlangsung Isnin depan sebagai langkah awal sebelum proses penetapan amaun pemberian khas dimuktamadkan.

