KOTA KINABALU: Inisiatif peralihan tenaga yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dilihat mampu membantu Sabah menangani cabaran keselamatan bekalan tenaga serta tekanan kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu adalah tepat pada masanya dalam menghadapi cabaran semasa.
“Inisiatif peralihan tenaga ini amat bersesuaian bagi membantu Sabah berdepan ketidaktentuan global, khususnya berkaitan keselamatan bekalan dan kos tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tenaga Sabah (MTS) bagi tahun ini di Menara Kinabalu, pada Jumaat.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memperkukuh keselamatan tenaga melalui strategi pembangunan yang seimbang dan berdaya tahan, termasuk memanfaatkan sumber gas asli, pembangunan tenaga hidro serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga seperti Battery Energy Storage System (BESS) dan projek Pumped Storage Hydro.
“Sabah kini beralih ke arah meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel serta Marine Fuel Oil (MFO),” katanya.
Hajiji berkata pembangunan sektor tenaga turut menjadi asas penting dalam menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan sektor perindustrian di negeri ini.
“Bekalan tenaga yang stabil, mampan dan berdaya saing akan menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik serta membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan,” katanya.
Sepanjang 2025, Sabah mencatat beberapa pencapaian penting dalam memperkukuh sistem bekalan elektrik, termasuk penyiapan projek BESS berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt jam (MWh) pada Ogos 2025, yang merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara.
Selain itu, pengoperasian sambungan grid Sabah–Sarawak pada Disember 2025 membolehkan import tenaga sebanyak 50MW, sekali gus meningkatkan kestabilan bekalan elektrik negeri.
Dalam masa sama, prestasi kebolehpercayaan bekalan elektrik turut bertambah baik dengan penurunan indeks SAIDI (System Average Interruption Duration Index) daripada 416 minit pada 2024 kepada 338 minit pada 2025.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pengawal selia, utiliti dan pengendali sistem dalam menambah baik operasi serta perancangan bekalan elektrik,” katanya.
Mengulas kejadian menara talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud yang tumbang akibat bencana alam pada September tahun lalu, beliau berkata insiden itu menekankan keperluan memperkukuh daya tahan grid melalui pembangunan penjanaan mampan di Pantai Timur serta pelaksanaan projek pautan grid Selatan (Southern Link).
Dalam perkembangan berkaitan, MTS turut meluluskan langkah intervensi di bawah Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) bagi mempercepat pencapaian liputan bekalan elektrik luar bandar 100 peratus, selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Hajiji turut mengumumkan pelantikan ahli baharu MTS iaitu Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri III,Datuk Ewon Benedick; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman.

