KOTA KINABALU:Langkah kerajaan negeri melaksanakan penstrukturan semula kewangan melibatkan Sabah Development Bank Berhad (SDBank), Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) dan SMJ Energy bukan merupakan tindakan bailout atau bantuan menyelamat seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi strategik milik negeri.
Aktivis politik pro Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata dakwaan yang dibangkitkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, ketika perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini tidak menggambarkan keadaan sebenar kedudukan kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.
Menurutnya, langkah yang diambil kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, merupakan penstrukturan semula kewangan yang bertujuan mengukuhkan kedudukan modal dan daya tahan institusi strategik negeri.
“Tiada satu sen pun wang baharu rakyat disuntik ke dalam syarikat-syarikat berkenaan. Dana berjumlah RM200 juta itu telah sedia ada dalam bank dan hanya ditukarkan statusnya kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares – RPS) bagi memperkukuh modal bank serta menjamin pulangan dividen tahunan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Aksyah berkata, langkah itu juga selaras dengan agenda Reformasi Institusi di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang memberi penekanan kepada pengukuhan syarikat berkaitan kerajaan supaya menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri, bukannya liabiliti kepada kerajaan.
Beliau berkata, hasil reformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu membolehkan beberapa GLC utama mencatat prestasi lebih baik dan menyumbang pulangan yang lebih besar kepada kerajaan negeri.
Mengulas prestasi SDBank, Aksyah berkata kutipan pinjaman tidak berbayar (Non-Performing Loans – NPL) menunjukkan peningkatan ketara selepas pelaksanaan penstrukturan pengurusan.
“Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Warisan, kutipan tunai NPL yang berjaya diperoleh hanya RM260 juta. Sebaliknya, sejak pengurusan baharu dilantik pada Julai 2023, SDBank berjaya mengutip semula RM3.3 bilion,” katanya.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai petunjuk kepada keberkesanan tadbir urus korporat yang lebih sistematik dan berupaya memperkukuh kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Menyentuh mengenai SIP, Aksyah berkata dakwaan kononnya syarikat itu menerima bailout juga tidak berasas kerana proses penstrukturan semula yang dilaksanakan berjaya mengurangkan beban kewangan serta mengukuhkan prospek jangka panjang syarikat.
Beliau berkata, melalui penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus ekuiti LNG9 kepada SMJ Energy, SIP kini bebas daripada hutang dan mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh.
“SIP kini bebas sepenuhnya daripada hutang dan berjaya mengunci pendapatan untuk tempoh 10 tahun lagi melalui pelanjutan asetnya di Indonesia,” katanya.
Aksyah berkata, kerajaan negeri memilih untuk menangani dan menyelesaikan pelbagai isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan GLC strategik demi memastikan ia terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
Beliau turut menegaskan rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai fakta dan prestasi sebenar kerajaan serta tidak mudah terpengaruh dengan naratif politik yang boleh mengelirukan pelabur dan masyarakat. “Naratif boleh diputar, tetapi data serta pencapaian ekonomi di bawah kepimpinan Hajiji Haji Noor adalah fakta yang boleh dinilai oleh rakyat,” katanya.

