KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh agenda transformasi digital apabila Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) secara rasmi dijenamakan semula sebagai Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri, bersempena ulang tahun ke-50 penubuhannya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan peranan baharu jabatan berkenaan sebagai peneraju utama transformasi digital kerajaan negeri serta pemangkin pembangunan inovasi teknologi di Sabah.
Menurut beliau, sepanjang lima dekad penubuhannya, jabatan itu memainkan peranan penting sebagai tulang belakang kepada pembangunan sistem dan teknologi maklumat kerajaan negeri, bermula daripada era pengkomputeran asas sehingga pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dalam perkhidmatan awam.
“Usaha berterusan ini telah membantu memperkukuh kecekapan pentadbiran kerajaan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan negeri,” katanya ketika merasmikan pelancaran penjenamaan semula itu, di sini, semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Hassan Mahali; Pengarah JPKN Sabah, Ernywati Dewi Abas; Ketua Pegawai Eksekutif SabahNet, Kah Yi; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Mohd Lan Muslim.
James berkata, peralihan ke arah ekonomi digital, inovasi teknologi serta masyarakat berasaskan data memerlukan kerajaan memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam mempercepat transformasi digital.
Seiring aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), beliau berkata teknologi digital dan inovasi dikenal pasti sebagai antara enjin utama yang mampu mempercepat pembangunan negeri merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi digital, pendidikan, perkhidmatan awam, industri kreatif serta pembangunan masyarakat.
Menurutnya, jabatan berkenaan akan terus memainkan peranan strategik dalam mempercepat transformasi digital perkhidmatan kerajaan, memperkukuh ekosistem inovasi negeri, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pembangunan ekonomi digital Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu serta warga kerja jabatan yang telah menyumbang komitmen sepanjang lima dekad sehingga berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam pembangunan teknologi maklumat kerajaan negeri.
“Dengan pengalaman dan legasi kukuh selama 50 tahun, saya yakin jabatan ini mampu terus memacu perubahan yang lebih besar demi manfaat rakyat Sabah,” katanya.

