Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Peningkatan Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukti kepimpinan berwawasan Hajiji : Anna Bell

KOMITED: Anna Bell menegaskan Gagasan Rakyat kekal komited memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

KOTA KINABALU: Peningkatan Pemberian Khas Interim Sabah kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai bukti keberkesanan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan hak-hak Sabah melalui pendekatan rundingan yang berhemah dan strategik.

Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Senator Datuk Anna Bell Perian berkata, peningkatan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion itu merupakan satu perkembangan positif yang menunjukkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu hak kewangan Sabah.

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji yang konsisten memperjuangkan kepentingan Sabah menerusi saluran rundingan dan kerjasama yang konstruktif.

“Pendekatan yang diamalkan oleh Ketua Menteri berjaya membawa kemajuan yang nyata dalam usaha menuntut hak-hak Sabah. Peningkatan pemberian khas interim ini juga memberi ruang fiskal yang lebih besar kepada kerajaan negeri untuk memperkukuh agenda pembangunan serta kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Anna Bell menegaskan bahawa peningkatan bayaran interim itu tidak mengubah pendirian Gagasan Rakyat untuk terus memperjuangkan pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, bayaran interim tersebut merupakan langkah ke hadapan yang penting, namun ia bukan pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang terus diperjuangkan sehingga penyelesaian muktamad dicapai.

“Apa yang lebih penting ialah komitmen yang telah dinyatakan secara terbuka oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah. Komitmen ini menjadi asas penting kepada rundingan yang sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan 40 peratus dan Pemberian Khas merupakan perkara yang saling berkait kerana formula asal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah berhak menerima Pemberian Khas yang berasaskan 40 peratus daripada hasil bersih tertentu yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Menurutnya, peningkatan Pemberian Khas daripada sekitar RM26.7 juta setahun selama beberapa dekad kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, RM600 juta pada 2025 serta RM1.5 bilion pada 2026 membuktikan bahawa rundingan yang berterusan mampu menghasilkan kemajuan yang signifikan.

“Walaupun perkembangan ini wajar dihargai, perjuangan masih belum selesai. Matlamat utama tetap pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami yakin rundingan yang sedang berlangsung akan membawa kepada penyelesaian yang adil, mampan dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah selaras dengan semangat pembentukan Malaysia dan prinsip keadilan fiskal,” katanya.

Exit mobile version