SANDAKAN: Penganjuran program kebudayaan yang melibatkan penyertaan aktif golongan belia wajar diperkasakan bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara dan tidak dilupakan generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, berkata usaha seperti penganjuran The Culture Night 2025 bukan sahaja mempromosikan kepelbagaian budaya setempat, malah mampu merancakkan sektor pelancongan serta menjana ekonomi komuniti.
“Kita melihat program seumpama ini sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan budaya daerah Sandakan kepada masyarakat dan pelancong, selain menyemarakkan aktiviti eko pelancongan.
“Ia turut memastikan budaya yang diwarisi terus hidup dan tidak dilupakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di Jalan Lebuh Dua, di sini.
Menurut Hazem, program seperti ini wajar dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah sebagai nilai tambah, selaras dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program sehari itu dianjurkan Kelab Belia Taman Sejati Ujana dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ia menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran etnik, pameran kenderaan, pertandingan tarian etnik, pertunjukan bunga api, persembahan kebudayaan serta artis jemputan.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Taman Sejati Ujana, Aidi Putra Hamdan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat, sambil menegaskan objektif program adalah bagi mengangkat budaya setempat serta memberi ruang kepada belia menonjolkan bakat.
“Program ini bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya Sandakan, malah mengeratkan hubungan komuniti pelbagai etnik,” katanya.
–TAMAT
