TAWAU: Pengalaman serta kemahiran dimiliki veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpotensi besar dimanfaatkan sebagai mentor dalam pembangunan belia, khususnya melalui program kepimpinan di peringkat daerah.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, golongan veteran memiliki pengalaman luas yang boleh dikongsi bagi membentuk jati diri, disiplin serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, terdapat dalam kalangan veteran yang pernah bertugas di kawasan sempadan, menyertai misi pengaman antarabangsa serta berdepan situasi konflik sebenar dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Pengalaman ini amat bernilai dan wajar diketengahkan kepada golongan belia agar mereka memahami erti pengorbanan serta menghargai keamanan yang dikecapi hari ini.
“Kita boleh mengenal pasti individu dalam kalangan veteran untuk diketengahkan sebagai penceramah atau pakar motivasi di peringkat daerah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Tawau, di sini, Ahad.
Nizam berkata, kerjasama strategik boleh dijalinkan antara PVATM, kementerian serta Jabatan Belia dan Sukan bagi membolehkan veteran terlibat secara langsung dalam program pembangunan belia.
“Melalui platform ini, mereka boleh berkongsi pengalaman dengan pelajar sekolah dan golongan belia bagi memupuk nilai disiplin, semangat juang serta kesedaran tentang kepentingan mempertahankan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan aktif PVATM Cawangan Tawau dalam menjaga kebajikan ahlinya menerusi pelbagai program kemasyarakatan.
Katanya, persatuan berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai saluran kebajikan, malah menjadi platform penting bagi kerajaan menyalurkan bantuan serta inisiatif kepada golongan veteran.
“Peranan PVATM sangat signifikan dan kita menggalakkan lebih ramai veteran di daerah ini untuk mendaftar sebagai ahli supaya kebajikan mereka terus terbela,” katanya.

