PAPAR:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Papar memperkukuh struktur organisasinya menerusi pembentukan barisan Ahli Jawatankuasa Penaja yang menggabungkan pemimpin berpengalaman, generasi muda serta muka baharu daripada pelbagai latar belakang.
Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, mengumumkan barisan berkenaan pada Majlis Perjumpaan dan Pengumuman Ahli Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar di Dewan Masyarakat Papar, Ahad, yang dihadiri lebih 500 pemimpin dan ahli parti.
Gagasan Rakyat Bahagian Papar merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kawang, Limbahau dan Pantai Manis.
Pada majlis itu, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, diumumkan sebagai Timbalan Ketua Penaja Bahagian, manakala ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Pg Saifudin Pg Tahir, sebagai Naib Ketua Penaja Bahagian.
Ghulam yang juga ADUN Kawang bertindak sebagai penyelaras DUN Kawang, manakala Juil yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar sebagai penyelaras DUN Limbahau, dan Pg Saifudin bagi DUN Pantai Manis.
Bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, pula dilantik sebagai Penyelaras Gagasan Rakyat Bahagian Papar.
Dalam ucapannya, Ghulam berkata pembentukan jawatankuasa penaja itu mencerminkan usaha parti menggabungkan pengalaman kepimpinan sedia ada dengan tenaga generasi baharu.
“Dalam barisan jawatankuasa penaja ini, kita menghimpunkan pemimpin berpengalaman, tokoh muda dan muka-muka baharu daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran.
“Inilah wajah sebenar Gagasan Rakyat yang kita mahu — wajah yang tidak tertutup, tidak jumud dan tidak takut kepada pembaharuan.
“Pengalaman menjadi kompas, tenaga muda menjadi layar dan kebijaksanaan bersama menjadi kemudi perjalanan kita,” katanya.
Ghulam, yang juga Pengarah Yayasan Sabah, berkata barisan kepimpinan bahagian perlu mengutamakan semangat kerja berpasukan bagi memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi, memperluas keahlian serta memastikan aktiviti parti digerakkan secara berterusan.
Menurutnya, setiap individu yang diberikan tanggungjawab perlu melihat pelantikan itu sebagai satu amanah bersama dan memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh saf kepimpinan bahagian.
“Kita mahu Gagasan Rakyat Bahagian Papar menjadi sebuah organisasi yang hidup dan membugar — hidup dengan kegiatan, idea serta semangat untuk berkhidmat.
“Kita mahu rakyat melihat Gagasan Rakyat bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi setiap hari dan sepanjang masa,” katanya.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

