Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pendigitalan jadi teras SMJ 2.0, Sabah perluas capaian digital

MEMORANDUM: Joniston (tiga kanan) yang mewakili Hajiji dan James (tiga kiri) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman pada Majlis Pelancaran Identiti Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd pada Selasa di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus mempergiat agenda pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan Sabah dengan memberi tumpuan kepada peluasan capaian di luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, RM9.59 juta disalurkan bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Ia merangkumi pembekalan komputer serta rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, peningkatan keselamatan siber serta pembangunan sistem aplikasi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di sini, pada Selasa. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), pendigitalan terus dijadikan teras utama dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri.

“Fokus diberikan kepada peluasan capaian digital di luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif,” katanya.

Menurutnya, kesalinghubungan digital kini menjadi tunjang utama dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi serta membuka ruang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor.

Sehubungan itu, katanya, pengukuhan infrastruktur digital merupakan faktor kritikal dalam menjayakan Hala Tuju SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“SMJ 2.0 merupakan pelan strategik utama yang dirangka untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.

“Ia adalah kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan pasca pandemik COVID-19, dan kini diperluas bagi menghadapi cabaran global termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur Sabah amat penting dalam merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.

Beliau berkata, sehingga kini syarikat itu telah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada kesalinghubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri.

“Rangkaian ini membolehkan perkhidmatan digital dinikmati secara lebih meluas, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.

“Peranan ini menjadikan Celcom Timur Sabah bukan sekadar penyedia infrastruktur, tetapi juga pemudah cara kepada pembangunan digital inklusif serta antara pemacu utama daya saing negeri,” katanya.

Menurut beliau, syarikat itu turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif nasional seperti JENDELA, Point of Presence (POP2) serta rangkaian 5G.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Exit mobile version