KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor terus komited dalam memperkukuh usaha kerajaan negeri untuk sektor pendidikan di negeri ini.
Katanya, usaha itu turut mengutamakan peningkatan kualiti pembelajaran, memperkasa pengurusan sekolah serta memastikan pembangunan holistik murid di seluruh Sabah.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh.
“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Hajiji berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi JPNS yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin di Menara Kinabalu di sini, pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Raisin menyampaikan taklimat mengenai program utama JPNS bagi tahun ini dan perancangan tahun hadapan.
Ia termasuk perkembangan serta pencapaian memberangsangkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar di negeri ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Krishna KS @ Mohd Fadzli Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Muddin Beting; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Salleh Linggam; serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.

