KOTA KINABALU:Masyarakat diseru tidak menunggu sehingga gejala menjadi serius sebelum mendapatkan pemeriksaan kesihatan, kerana keupayaan mengenali faktor risiko dan tanda awal penyakit vaskular membolehkan rawatan diberikan lebih awal serta mengurangkan risiko komplikasi.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pemeriksaan awal dan tindakan yang tepat pada masanya amat penting dalam usaha mencegah komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup.
“Kenali tubuh kita, peka terhadap tanda-tanda amaran dan jangan menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.
“Pemeriksaan awal dan tindakan yang tepat pada masanya amat penting dalam membantu mencegah komplikasi serta meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Vascular Awareness Campaign di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, Isnin.
Kempen itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kesihatan vaskular, termasuk faktor risiko, tanda amaran serta kepentingan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lebih awal.
Antara penyakit yang diberikan perhatian ialah abdominal aortic aneurysm (AAA), iaitu pembengkakan atau pengembangan pada bahagian aorta di abdomen, serta peripheral arterial disease (PAD) — keadaan apabila aliran darah melalui arteri ke anggota badan, terutamanya kaki, terjejas.
Sesetengah penyakit vaskular boleh berkembang tanpa gejala ketara pada peringkat awal dan hanya disedari apabila keadaan menjadi lebih serius.
Julita berkata, perubahan tertentu pada tubuh tidak seharusnya dipandang ringan, terutamanya jika berlaku secara berterusan.
Antara tanda yang perlu diberikan perhatian ialah sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit serta luka yang lambat sembuh.
Menurutnya, pengetahuan mengenai tanda amaran membolehkan individu mendapatkan nasihat profesional dan menjalani pemeriksaan lebih awal sekiranya terdapat gejala yang mencurigakan.
Julita berkata, usaha meningkatkan kesedaran kesihatan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu hospital dan petugas kesihatan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat — termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, memahami faktor risiko dan melakukan pemeriksaan kesihatan apabila perlu.
Beliau berkata, kempen kesedaran kesihatan memainkan peranan penting dalam mengubah pendekatan masyarakat daripada hanya mendapatkan rawatan apabila sakit kepada memberi perhatian lebih besar terhadap aspek pencegahan.
Menurutnya, pendidikan kesihatan yang berterusan dapat membantu membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan diri dan membuat keputusan lebih awal untuk mendapatkan rawatan.
Julita turut merakamkan penghargaan kepada HQE II, pakar perubatan, doktor serta petugas kesihatan atas komitmen menjayakan kempen berkenaan, sambil menyifatkan kepakaran dalam bidang pembedahan vaskular sebagai antara komponen penting memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah.
Turut hadir Pengarah HQE II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim, dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr. Benjamin Leong Dak Keung.

