PAPAR: Kegagalan melaksanakan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 sejak 2019 dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan air yang berlarutan di daerah ini, termasuk di Kinarut dan kawasan sekitarnya, sehingga menjejaskan ribuan penduduk.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, berkata projek strategik itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal namun tidak diteruskan oleh kerajaan negeri serta wakil rakyat Papar pada ketika itu, sekali gus menyebabkan isu bekalan air berpanjangan.
“LRA Kogopon Fasa 2 sepatutnya dilaksanakan pada 2019, tetapi kerajaan negeri dan wakil rakyat Papar pada waktu itu tidak dapat meneruskan projek ini.
“Namun hari ini mereka tampil sebagai ‘hero rakyat’, sedangkan jika projek ini berjalan pada 2019, bekalan air di kawasan terjejas akan lebih stabil ketika ini,” katanya kepada media ketika menghadiri sidang akhbar bersama penduduk di Kinarut, di sini, Ahad.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, serta wakil penduduk, Herbert Lye.
Menurut Azrul, wakil rakyat Papar ketika ini, Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali, berjaya memulakan pembinaan LRA Kogopon Fasa 2 dalam tempoh kurang setahun, dengan projek itu dijangka siap pada Ogos 2026.
“Dalam tempoh kurang setahun, wakil rakyat Papar berjaya memulakan pembinaan LRA Kogopon Fasa 2 yang dijangka siap Ogos tahun depan.
“Sementara menunggu projek siap, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi memastikan bekalan air kepada penduduk tidak terus terjejas,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan komunikasi dan penyelarasan antara semua pihak bagi memastikan bantuan bekalan air dapat disalurkan secara berkesan ke kawasan terjejas.
“JANS juga disaran memastikan sebaik sahaja LRA Kogopon Fasa 2 siap, isu bekalan air di Papar dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

𝗣𝗲𝗿𝗺𝗶𝗻𝘁𝗮𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗻𝗶𝗻𝗴𝗸𝗮𝘁, 𝗸𝗮𝗽𝗮𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗟𝗥𝗔 𝗺𝗮𝗸𝘀𝗶𝗺𝘂𝗺:
Dalam perkembangan berkaitan, peningkatan permintaan sempena musim perayaan Krismas dan cuti sekolah, ditambah dengan masalah kekeruhan air sungai, memburukkan keadaan sehingga menyebabkan gangguan bekalan sejak minggu lalu.
Pegawai merangkap Jurutera JANS Papar, Afiq Abqari Nain, berkata LRA Kogopon kini beroperasi pada kapasiti maksimum iaitu 40 juta liter sehari, namun jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan semasa.
“Permintaan meningkat dengan ketara semasa musim perayaan dan cuti sekolah, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Kinarut.
“Pada masa sama, kapasiti LRA Kogopon sudah berada pada tahap maksimum,” katanya.
Beliau menjelaskan, sebarang gangguan teknikal atau kekeruhan air sungai melebihi 1,000 unit kekeruhan nephelometric (NTU) memaksa pengeluaran dikurangkan kepada bawah 30 juta liter sehari bagi menjamin keselamatan bekalan air terawat.
Afiq berkata kawasan yang menerima bekalan daripada Tangki P3 Kawang melibatkan penempatan berketumpatan tinggi, termasuk taman perumahan, bangunan bertingkat di Kinarut serta beberapa kampung sekitar Kawang.
“Sebagai contoh, di Puncak Gloxinia sahaja terdapat kira-kira 1,200 unit rumah, manakala kawasan lain seperti Taman Limauan dan rumah pangsa melibatkan ratusan unit kediaman, termasuk bangunan bertingkat yang memerlukan tekanan air mencukupi,” katanya.
Menurutnya, faktor tekanan air, ketinggian kawasan dan penggunaan pam persendirian turut menyumbang kepada situasi di mana sesetengah kawasan menerima bekalan, manakala kawasan berhampiran mengalami gangguan.
“Bekalan memerlukan masa untuk pulih secara berperingkat. Kawasan rendah menerima air lebih awal berbanding kawasan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kawasan terjejas berada dalam jadual catuan bulanan, namun situasi hujung tahun menyaksikan gangguan lebih ketara berikutan permintaan luar biasa.
Menjelang pembukaan sesi persekolahan, Afiq berkata JANS sedang berusaha menstabilkan bekalan melalui pelaksanaan catuan terancang sementara menunggu siapnya projek LRA Kogopon Fasa 2.
“Kawasan terjejas dimasukkan dalam jadual catuan bagi memastikan agihan adil dan terkawal.
“Bantuan lori tangki air juga akan digerakkan dengan kerjasama pejabat Parlimen dan ADUN,” katanya.
𝗣𝗲𝗻𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸 𝘁𝘂𝗻𝘁𝘂𝘁 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗺𝘂𝗹𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗷𝗲𝗹𝗮𝘀:
Sementara itu, Herbert berkata gangguan bekalan air menyebabkan penduduk mendapatkan penjelasan daripada JANS, khususnya menjelang sesi persekolahan.
“Kami memerlukan penjelasan rasmi dan telus, jadual pemulihan yang jelas serta pelan jangka panjang supaya krisis air ini tidak berlarutan,” katanya.
–TAMAT
