Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Penangguhan bayaran 40 peratus cetus Kebimbangan

Azrul berkata hak 40 peratus Sabah perlu dilaksanakan segera demi kesejahteraan rakyat.

KOTA KINABALU:Keputusan membenarkan penangguhan pelaksanaan bayaran 40 peratus hasil Sabah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri ini, kata Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Azrul Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Persekutuan telah mengesahkan bahawa formula 40 peratus terpakai untuk Sabah serta keperluan semakan semula diakui, keputusan penangguhan itu memberi isyarat kurang meyakinkan dari segi komitmen pelaksanaan.

Menurutnya, rayuan di Mahkamah Rayuan yang melibatkan aspek tertentu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Tempoh Terlepas atau ‘Tahun-Tahun Hilang’ (1974–2021) tidak seharusnya menghalang usaha melaksanakan kelayakan 40 peratus bagi tahun-tahun semasa.

“Kedua-dua perkara ini perlu dilihat secara berasingan dan ditangani dengan pendekatan yang lebih konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, Sabah memerlukan peruntukan tambahan itu bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan dan perlu disegerakan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hak 40 peratus bukan satu bentuk rundingan politik yang boleh ditawar-menawar.

“Ia adalah hak berasaskan Perlembagaan yang mesti dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pelaksanaan perkara itu, termasuk keperluan untuk menyediakan garis masa yang jelas dan komprehensif. “Rakyat Sabah berhak mengetahui bila dan bagaimana semakan serta pembayaran ini akan dilaksanakan tanpa sebarang ketidakpastian,” katanya.

Exit mobile version