Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pemuda PBS ketepi persaingan dalaman, fokus perkukuh jentera hadapi PRU16

SEPAKAT: Timbalan Ketua Exco Pemuda PBS Pusat (Kuota Biru), Dr. Rockey Jerome Budin (empat dari kiri) bersalaman dengan Ketua Exco Pemuda PBS Pusat, Datuk Dr. Christoper Mandut (empat dari kanan) selepas mengumumkan penarikan dirinya daripada pertandingan jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat di Ibu Pejabat PBS, Isnin.

KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat (Kuota Biru), Dr. Rockey Jerome Budin, secara rasmi menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat pada pemilihan parti kali ini.

Rockey berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, khususnya kepentingan, perpaduan dan masa depan parti.

Menurutnya, PBS kini melalui fasa peralihan kepimpinan yang memerlukan sokongan padu seluruh anggota bagi memberi ruang kepada Presiden dan barisan kepimpinan baharu menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuh organisasi.

“Peralihan fasa kepimpinan memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira keperluan PBS memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, perkembangan politik semasa menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi dan seluruh tenaga parti perlu digembleng untuk memperkukuh jentera, bukannya terpecah akibat persaingan dalaman yang berpanjangan.

“Fokus kita hari ini mesti dialihkan sepenuhnya kepada persiapan jentera parti bagi menghadapi PRU yang dijangka tidak lama lagi, tanpa tenaga kita dipecahkan oleh persaingan dalaman yang berpanjangan.

“Bagi saya, jawatan dan kedudukan bukanlah keutamaan. Apa yang jauh lebih penting ialah kelangsungan, perpaduan dan kemenangan parti. Kepentingan PBS harus diletakkan jauh mengatasi segala kepentingan individu atau kelompok,” katanya.

Sehubungan itu, Rockey berkata beliau berlapang dada memberi laluan kepada Ketua Exco Pemuda PBS Pusat, Datuk Dr. Christoper Mandut, untuk menerajui sayap berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beberapa calon lain yang menawarkan diri bagi jawatan kepimpinan Pemuda PBS Pusat turut menarik diri bagi memberi laluan kepada calon lain menang tanpa bertanding.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Biru), Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, menarik diri bagi memberi laluan kepada Stanley Leo.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PBS Bahagian Kepayan, Adlu Shah, menarik diri daripada pertandingan jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Kuning), sekali gus memberi laluan kepada Naib Ketua (Kuota Kuning), Mohd Khairol Majde.

Bagi jawatan Naib Ketua (Kuota Biru) pula, Exco Pemuda, Rainy Valentine turut menarik diri bagi memberi laluan kepada Kevin Jon Johnny untuk menang tanpa bertanding.

Rockey berkata, perkembangan itu mencerminkan kesediaan barisan Pemuda PBS untuk mendahulukan perpaduan dan kepentingan parti berbanding persaingan merebut jawatan.

Menurutnya, semangat bertolak ansur itu penting bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berlangsung secara harmoni, seterusnya membolehkan Pemuda PBS menumpukan perhatian kepada agenda lebih besar termasuk memperkukuh jentera menjelang PRU16.

“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang memegang jawatan, tetapi tentang bagaimana kita bersama-sama membawa suara rakyat dan memastikan PBS terus menjadi pilihan utama rakyat Sabah.

“Marilah kita merapatkan saf dan bergerak sebagai satu pasukan. Kepentingan dan masa depan PBS harus sentiasa menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.

Sementara itu, Christoper menyifatkan keputusan Rockey sebagai mencerminkan semangat kesatuan serta kesediaan mendahulukan kepentingan parti.

Beliau berkata, keputusan berkenaan wajar dijadikan titik penyatuan seluruh barisan Pemuda PBS selepas proses pemilihan yang menyaksikan pertembungan dalam kalangan kepimpinan.

Beliau berkata, proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden parti.

“Tiada lagi Team Dr. Christoper atau Team Dr. Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” katanya.

Christoper berkata, semangat kesatuan itu penting bagi memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sayap yang kukuh, selain mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti dan mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang.

Exit mobile version