KENINGAU:Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.40 Bingkor menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, demi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan perjuangan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperkasa.
Ketuanya, Harry Philippus, berkata GRS terbukti sebagai platform politik paling stabil dan efektif dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Bingkor.
“Kami percaya kestabilan politik adalah asas kepada pelaksanaan pembangunan yang mampan dan adil. Tanpa kestabilan, segala dasar dan perancangan kerajaan untuk rakyat sukar dijayakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Harry menjelaskan bahawa sokongan Pemuda PBS Bingkor terhadap GRS bukan semata-mata berasaskan politik, tetapi kerana gabungan itu memperjuangkan hak Sabah berlandaskan semangat MA63.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji, perjuangan menuntut hak Sabah dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan, termasuk dari segi autonomi pentadbiran, agihan hasil negeri dan keseimbangan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, GRS telah membuktikan keupayaan mentadbir secara berhemah dan inklusif, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri yang stabil.
“Perjuangan ini bukan hanya untuk kita pada hari ini, tetapi untuk menjamin masa depan generasi muda Sabah agar terus dihormati sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Menurut Harry, kerjasama erat antara parti-parti komponen GRS telah menghasilkan pembangunan yang nyata di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan Bingkor.
Beliau berkata pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik luar bandar, serta penambahbaikan kemudahan pendidikan dan kesihatan sedang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri pimpinan GRS.
“Ini bukti bahawa kestabilan politik memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan sampai ke setiap kampung,” katanya.
Harry menambah, Pemuda PBS Bingkor komited untuk menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan dengan memastikan isu akar umbi terus disampaikan kepada pihak berwajib.
“Golongan muda perlu tampil aktif membantu membangunkan negeri dan memastikan suara rakyat luar bandar terus didengar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Harry mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat serta menggugat kestabilan politik negeri.
“GRS telah membuktikan bahawa gabungan ini mampu mentadbir dengan baik dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Beliau turut menegaskan sokongan padu Pemuda PBS Bingkor terhadap Ketua Bahagian PBS Bingkor, Datuk Peter Jino Alliun, serta kepimpinan tertinggi parti yang diterajui oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
“Dengan semangat kerjasama dan keikhlasan berkhidmat, PBS bersama rakan komponen dalam GRS akan terus memperkukuh kestabilan politik Sabah dan memastikan pembangunan berterusan untuk rakyat,” jelasnya.
Harry menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa Pemuda PBS Bingkor akan terus memperjuangkan perpaduan, kestabilan dan hak Sabah di bawah MA63 sebagai kunci masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.
“Kami akan terus bersatu dan berkhidmat demi rakyat serta kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
— TAMAT

