Pemuda Gagasan Rakyat sokong ketegasan kerajaan Negeri tuntut hak 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU:Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri ini.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata usaha mempertahankan hak Sabah bukan sekadar isu politik semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan soal keadilan serta penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjadi asas pembentukan negara.

Menurut beliau, generasi muda Sabah melihat tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan sebagai isu penting yang memberi kesan langsung kepada masa depan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Sebagai generasi yang akan mewarisi masa depan Sabah, kami berpandangan bahawa usaha mempertahankan hak negeri ini bukan sekadar soal politik, tetapi soal keadilan dan penghormatan terhadap kerangka perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azrul berkata Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten dalam memastikan proses perundingan serta libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan prinsip undang-undang.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut mengambil pendirian tegas bagi memastikan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan tersebut dihormati serta dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut beliau, pendekatan yang matang dan berprinsip itu wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana perkara berkenaan melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.

Azrul turut berpandangan bahawa sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu tersebut.

Sebaliknya, katanya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama semua pihak untuk mencapai penyelesaian yang adil, munasabah dan menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka perlembagaan negara.

“Kami juga menyeru agar semua pihak di Sabah bersatu dalam isu ini kerana hak Sabah adalah hak rakyat Sabah.

“Perjuangan ini perlu dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan negeri ini terus terpelihara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles