Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pemimpin perlu sentiasa bersama rakyat, jangan tunggu ada jawatan: Liew

AHLI BAHARU: Presiden Harapan Rakyat Tan Sri Liew Yun Fah (empat kanan) menerima borang keahlian baharu daripada wakil Bahagian Silam, Tungku dan Segama pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Harapan Rakyat 2026 di Lahad Datu.

LAHAD DATU: Pemimpin politik tidak seharusnya menunggu memegang jawatan sebelum turun padang mendekati rakyat dan memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Demikian ditegaskan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah yang berkata, seseorang pemimpin perlu sentiasa bersama rakyat tanpa mengira musim pilihan raya atau kedudukan yang disandang, kerana kepercayaan masyarakat dibina melalui keikhlasan dan khidmat yang berterusan.

Menurut beliau, jawatan hanyalah satu medium untuk menghubungkan rakyat dengan kerajaan dalam usaha menyampaikan suara serta mencari penyelesaian kepada pelbagai isu yang dihadapi masyarakat.

“Jangan tunggu ada jawatan baharu hendak turun bertemu rakyat di kampung. Yang lebih penting ialah bagaimana kita menjaga hubungan dengan masyarakat dan sentiasa membantu mereka apabila diperlukan.

“Rakyat akan menilai keikhlasan seseorang pemimpin berdasarkan tindakan dan khidmat yang diberikan, bukan semata-mata pada jawatan yang disandang,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Harapan Rakyat Segama, Tungku dan Silam 2026 yang dihadiri hampir 300 ahli parti di sini, Sabtu.

Turut hadir Pemangku Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Samsiah Usman; Pemangku Setiausaha Agung parti, Mahar Zemi Jamawi serta Ketua Wanita Harapan Rakyat, Norazian Dumit.

Liew berkata, kepimpinan parti di peringkat bahagian perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyantuni masyarakat serta membantu ahli parti dan rakyat yang memerlukan sokongan.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketua-ketua bahagian di Segama, Tungku dan Silam supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan keperluan rakyat kepada kepimpinan pusat agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera.

“Walaupun kita tidak mempunyai wakil rakyat, saya akan berusaha memastikan bantuan dapat disalurkan sama ada menggunakan dana sendiri atau melalui inisiatif yang disediakan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Liew turut menyeru rakyat agar terus memberi sokongan kepada kepimpinan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bagi memastikan agenda pembangunan dan program kebajikan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan kepada rakyat. “Usaha pembangunan yang dirancang memerlukan sokongan rakyat supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat di seluruh negeri,” katanya.

Exit mobile version