KOTA MARUDU: Pemimpin akar umbi perlu terus memainkan peranan sebagai ejen perpaduan bagi memastikan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, pemimpin komuniti merupakan penghubung utama antara kerajaan dan rakyat, justeru mereka perlu sentiasa memperkukuh semangat patriotisme, integriti serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti yang dianjurkan menerusi kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah menjadi platform penting dalam memperkasa pemimpin masyarakat agar lebih memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemacu pembangunan komuniti.
“Seminar ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi wadah memperkukuh semangat cintakan negara, memelihara perpaduan serta memperkasakan jati diri pemimpin komuniti dalam mendepani cabaran semasa.
“Peranan pemimpin akar umbi amat penting kerana mereka merupakan barisan hadapan yang berinteraksi secara langsung dengan rakyat serta menyampaikan dasar dan aspirasi kerajaan kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Dewan AB Grand Hall, di sini.
Kira-kira 850 peserta menghadiri seminar sehari itu yang merupakan siri ketiga penganjurannya selepas program sama berjaya dilaksanakan di Sandakan dan Tawau.
Program berkenaan dimulakan dengan sesi interaktif kenegaraan yang memberi pendedahan mengenai nilai patriotisme, semangat cintakan negara serta penghayatan konsep Malaysia MADANI. Peserta turut mengikuti sesi kenegaraan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang.
Selain itu, peserta didedahkan dengan ceramah bertajuk “Bila Amanah Bertukar Menjadi Jenayah: Rasuah Dalam Pengurusan Dana” yang dikendalikan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai integriti, tadbir urus yang baik serta pengurusan organisasi dan komuniti yang beretika.
Program turut menampilkan sesi penerangan mengenai agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya yang memberi penjelasan berhubung hala tuju pembangunan negeri, inisiatif kerajaan serta peranan pemimpin komuniti dalam memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Seminar yang menghimpunkan peserta dari tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Kapor, Banggi, Pitas, Bengkoka, Matunggong, Bandau dan Tandek itu berjaya menjadi platform perkongsian ilmu, pengukuhan jaringan kerjasama serta pemantapan peranan pemimpin masyarakat dalam mendukung agenda pembangunan negeri dan negara.
Awang Kadin berkata, ilmu, pengalaman serta jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang seminar itu diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin masyarakat yang berwibawa, berintegriti dan berupaya menyumbang kepada kemajuan komuniti masing-masing.
“Pengetahuan yang diperoleh perlu diterjemahkan melalui tindakan dan perkhidmatan yang lebih cemerlang demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, para penceramah, urus setia dan peserta atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung. Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; Pemimpin-Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM); pegawai-pegawai AKM dan UPPM; pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pemimpin masyarakat daripada tujuh kawasan DUN yang terlibat.

