Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pemerkasaan kepimpinan wanita perlu diperkukuh

KENANGAN:Azizah bergambar bersama peserta Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, menyeru agar usaha memperkasa kepimpinan wanita di Sabah terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing.

Beliau berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan di negeri ini masih rendah dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk berpandukan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh IDS.

“IDS mempunyai data serta hasil kajian yang jelas mengenai keperluan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan. Kita bukan sahaja mahu melihat pertambahan dari segi jumlah, tetapi juga memastikan mereka memiliki kualiti serta kelayakan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah, di sini, hari ini.

PENGHARGAAN:Azizah menyampaikan cenderamata kepada penceramah sempena bengkel berkenaan.

Azizah yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah menegaskan pembentukan pemimpin wanita berkaliber perlu bermula dengan asas komunikasi yang jelas, kefahaman mendalam terhadap isu serta persediaan rapi dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Seorang pemimpin perlu jelas dalam pertuturan, memahami isu yang dibawa serta sentiasa membuat persediaan. Program seperti bengkel ini penting kerana menyediakan latihan praktikal termasuk pengucapan awam, latihan berkumpulan dan pembentangan.

“Di sinilah nilai kepimpinan, ilmu serta semangat kebersamaan dapat dibentuk, seiring peranan pemimpin dalam membawa suara rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pengalaman memainkan peranan penting dalam membentuk kredibiliti pemimpin agar lebih diyakini dan dihormati masyarakat.

PENGHARGAAN:Azizah menyampaikan cenderamata kepada penceramah sempena bengkel berkenaan.

“Pemimpin perlu berani memikul tanggungjawab selepas menerima mandat. Persediaan rapi sebelum berucap atau menghadiri program mencerminkan tahap intelektual serta kesungguhan seseorang pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan pemimpin wanita agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

“Dunia bergerak pantas dan kita perlu sentiasa menambah ilmu, memahami isu semasa serta bersedia menyesuaikan diri. Proses pembelajaran ini tidak pernah berhenti,” katanya.

Bengkel berkenaan disertai seramai 35 peserta terdiri daripada ahli wanita GRS dari kawasan Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.

Exit mobile version