KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin di kediaman keluarga Allahyarham di Idang Residen, Luyang, bagi memberikan penghormatan terakhir, hari ini.
Hajiji berkata, pemergian Allahyarham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Sabah, memandangkan jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai pemimpin rakyat.
“Sebagai sahabat lama, saya amat bersimpati dan sentiasa mengingati Allahyarham, lebih-lebih lagi ketika beliau diuji dengan masalah kesihatan sebelum ini,” katanya kepada media selepas menziarahi jenazah.
Beliau berkata, bagi pihak kerajaan negeri dan atas nama peribadi, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh politik itu.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah sebelum ini, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, di sini.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia politik Sabah, khususnya masyarakat di kawasan Lamag dan Kinabatangan yang pernah diwakilinya selama bertahun-tahun.
— TAMAT

