PUTATAN: Pembangunan holistik yang mengimbangi kecemerlangan akademik dan aktiviti sukan mampu meningkatkan martabat sekolah serta melahirkan pelajar berkualiti di daerah Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya berkata, keseimbangan antara prestasi akademik dan penglibatan dalam aktiviti fizikal perlu diberi penekanan bagi memastikan kedua-dua aspek itu berkembang secara berterusan.
Menurutnya, selain melahirkan pelajar cemerlang dalam pelajaran, pencapaian dalam bidang sukan juga memainkan peranan penting dalam mengangkat nama sekolah ke peringkat lebih tinggi.
“Pembangunan holistik yang merangkumi akademik dan sukan amat penting dalam membentuk pelajar yang berdaya saing, berdisiplin serta berwibawa pada masa hadapan.
“Pada masa sama, ia turut meningkatkan kualiti sekolah serta membuktikan bahawa Putatan mempunyai institusi pendidikan yang mampu bersaing di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-26 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini, pada Khamis.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Rusmadi Ahmad; Pengetua SMK Tansau, Dr Miller Yong; Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin; Pegawai Khas Parlimen Putatan, Mahadzir Abd Majid; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, penganjuran kejohanan sukan tersebut turut berperanan memupuk kemahiran sosial, kepimpinan serta disiplin dalam kalangan pelajar.
Beliau turut menyifatkan tema kejohanan tahun ini, Alam Sekitar: Flora dan Fauna, sebagai bertepatan dalam meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
“Sambil bersukan, pelajar turut didedahkan kepada kepentingan memelihara dan melindungi khazanah alam semula jadi, sekali gus membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Pembangunan holistik akademik dan sukan mampu angkat martabat sekolah di Putatan :Shahelmey

Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-26 SMK Tansau, Putatan, pada Khamis.
