Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pembangunan Bingkor tidak terjejas walaupun STAR di blok pembangkang

Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Liau, Harry Gitik

KENINGAU: Urusan pembangunan dan kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor kekal berjalan secara teratur serta tidak terjejas walaupun Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kini berada di blok pembangkang, selaras dengan amalan pentadbiran kerajaan negeri.

Susulan pengumuman Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan bahawa parti itu secara rasmi berada di blok pembangkang, kedudukan kawasan yang dimenangi STAR turut mengikuti pendirian politik parti terbabit dari segi penyelarasan pentadbiran.

Bagaimanapun, mengikut amalan pentadbiran negeri, pelaksanaan pembangunan, kebajikan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam tetap berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri yang memerintah, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) GRS Liau, Harry Gitik, berkata penyelarasan itu penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek dan perkhidmatan kepada rakyat.

“Yang paling utama ialah kepentingan rakyat. Mereka memerlukan pembangunan yang berterusan, perkhidmatan yang tersusun dan bantuan yang sampai kepada sasaran tanpa terganggu oleh perubahan landskap politik.

“Oleh itu, segala urusan pembangunan dan kebajikan di DUN Bingkor kini diselaraskan oleh kerajaan negeri di bawah GRS bagi memastikan perancangan berjalan lancar dan manfaat dapat dinikmati penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, GRS memberi jaminan bahawa semua perancangan yang telah digariskan oleh kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur asas, program kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi setempat serta penyelarasan bantuan rakyat akan diteruskan seperti dirancang.

“Ini bukan soal politik kepartian, tetapi keperluan pentadbiran. Sistem tadbir urus mesti jelas supaya setiap peruntukan dapat dilaksanakan dengan cekap, setiap projek menepati jadual dan setiap program rakyat tidak tergendala,” katanya.

Harry menegaskan, komitmen GRS selaras dengan pendekatan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan kestabilan pentadbiran, pembangunan seimbang dan kebajikan rakyat sebagai teras pentadbiran negeri.

“Di peringkat akar umbi, GRS akan terus memastikan rakyat Bingkor menerima perkhidmatan kerajaan secara saksama tanpa dipengaruhi perubahan pendirian politik mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan penyelarasan pentadbiran yang jelas di bawah kerajaan negeri, proses pembangunan di Bingkor akan terus terjamin, stabil dan dilaksanakan secara teratur demi manfaat jangka panjang masyarakat setempat.

— TAMAT

Exit mobile version