KOTA KINABALU:Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan sebagai rizab biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker merupakan satu detik bersejarah serta pencapaian membanggakan bagi negeri Sabah dan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa.
Beliau berkata, pengiktirafan itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Sabah memelihara kelestarian alam sekitar serta biodiversiti bertaraf dunia.
“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta membuka peluang kerjasama global yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Majlis Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang meliputi kawasan seluas 350,584 hektar dan diisytiharkan pada 2014 turut memainkan peranan penting dalam landskap pemuliharaan negeri.
Menurutnya, lebih sejuta penduduk yang tinggal di hampir 400 kampung di 10 daerah, termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut, menerima manfaat secara langsung daripada kewujudan rizab biosfera tersebut.
Beliau berkata, pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker turut melengkapkan status Sabah sebagai pemilik UNESCO Triple Crown Sites, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara peneraju pemuliharaan biodiversiti dunia.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru semua pihak agar terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik supaya manfaat pengiktirafan itu dapat dinikmati secara mampan.
“Kerajaan negeri memandang serius usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistem amat penting kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosioekonomi negeri.
“Usaha konservasi ini juga selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan alam sekitar dengan hampir 30 peratus kawasan daratan negeri diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).
Menurutnya, Sabah turut kekal sebagai penyerap karbon bersih utama negara dengan menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia menerusi hutan tropika yang luas.
“Rizab biosfera menyokong tindakan iklim, khususnya melalui fungsinya sebagai penyerap karbon. Apabila hutan dilindungi dan dipulihkan secara semula jadi, ia mampu menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan bukan sahaja penting dari aspek pemuliharaan, malah berpotensi memperkukuh ekonomi setempat melalui pelancongan mampan, program homestay dan perusahaan berasaskan komuniti.
Hajiji berkata, apabila masyarakat memperoleh manfaat ekonomi secara langsung daripada pemuliharaan alam sekitar, mereka akan lebih terdorong untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Kita perlu memastikan pengiktirafan kedua-dua rizab biosfera ini memberi limpahan manfaat ekonomi kepada masyarakat yang tinggal di kawasan terlibat,” katanya. Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk

