Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pemantauan Kod Sukan Selamat diperkukuh di sekolah Sabah

RASMI:Nizam menyempurnakan gimik perasmian Majlis Anugerah Inspirasi Kurikulum (MAIK) di SMK Titingan.

TAWAU: Pelaksanaan Kod Sukan Selamat di sekolah-sekolah di Sabah dipantau secara berterusan bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin sepanjang aktiviti sukan dan kokurikulum.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemantauan itu dilaksanakan menerusi Majlis Sukan Negeri Sabah yang diberi mandat untuk menyelaras serta memastikan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan.

Katanya, setiap aktiviti sukan yang dianjurkan di peringkat sekolah wajib mematuhi Kod Sukan Selamat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk kecederaan dan kemalangan.

“Kita telah mengarahkan Majlis Sukan Negeri untuk memantau pelaksanaan Kod Sukan Selamat dalam semua aktiviti sukan di bawah sektor pendidikan.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap pertandingan dan latihan mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan sekali gus mengurangkan risiko kecederaan serta insiden yang boleh menjejaskan imej sukan dan sekolah,” katanya.

ALBUM:Nizam (duduk, tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang SMK Titingan sempena Majlis Anugerah Inspirasi Kurikulum (MAIK) di Tawau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Kurikulum (MAIK) di SMK Titingan, di sini, Ahad.

Menurutnya, antara aspek yang diberi penekanan termasuk pematuhan prosedur keselamatan, kesediaan fasiliti, pengawasan jurulatih serta tahap kesiapsiagaan penganjur dalam mengendalikan aktiviti sukan.

“Pemantauan turut merangkumi pengurusan risiko seperti memastikan peralatan berada dalam keadaan selamat, keadaan padang atau gelanggang sesuai digunakan serta kewujudan pelan tindakan kecemasan sekiranya berlaku insiden,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha mewujudkan persekitaran sukan yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak.

“Guru, ibu bapa dan pelajar perlu berganding bahu memastikan budaya sukan selamat diamalkan secara menyeluruh.

“Kita mahu aktiviti sukan bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang dari segi fizikal dan bakat, tetapi juga dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada 31 pelajar cemerlang sempena MAIK sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah berkenaan.

Exit mobile version