TAWAU: Penglibatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Tawau dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Ke-11 dilihat sebagai pendekatan berkesan untuk mendekati masyarakat, sekali gus memperkukuh kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEMADAM dalam program kemasyarakatan mampu menyampaikan mesej pencegahan dadah secara lebih dekat, santai dan berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata, usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk institusi keluarga, NGO dan masyarakat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada PEMADAM yang terus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dadah serta tanggungjawab bersama untuk membendung gejala ini.
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mendidik masyarakat supaya bersama-sama memastikan generasi muda dan institusi keluarga bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Memancing sempena FKAT Ke-11 anjuran PEMADAM Daerah Tawau, di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas.
Mengulas lanjut, Nizam berkata Tawau berdepan cabaran tersendiri berikutan kedudukannya yang berhampiran sempadan Filipina dan Indonesia, sekali gus terdedah kepada pelbagai pengaruh rentas sempadan termasuk yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Beliau berkata, beberapa kawasan di daerah itu turut dikenal pasti berdepan masalah penyalahgunaan dadah yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak.
“Tawau berada berhampiran sempadan antarabangsa. Kita sentiasa mengalu-alukan pengaruh yang membawa manfaat, namun pada masa sama perlu berwaspada terhadap unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nizam menyifatkan FKAT sebagai platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat di daerah itu kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, pengisian seperti pertandingan memancing, pertunjukan dron dan pertandingan layang-layang bukan sahaja memeriahkan festival, malah berpotensi menarik lebih ramai penyertaan dari luar Sabah.
“Kita berharap festival ini akan terus diperkasakan dengan lebih banyak aktiviti yang mampu menarik penyertaan dari seluruh negara dan luar negara, sekali gus memperkenalkan Tawau sebagai sebuah daerah yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya.

