KALABAKAN: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa, sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera disambut baik oleh warga kakitangan Ladang Kalabakan.
Pengurus Ladang Kalabakan, Muhammad Izwan Sanuddin, berkata pelantikan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada warga Sawit Kinabalu, malah dilihat sebagai perkembangan positif yang berpotensi memberi impak besar terhadap hala tuju dan prestasi syarikat pada masa hadapan.
Menurutnya, pengalaman serta latar belakang Hazem dalam dunia korporat dan industri minyak sawit memberikan keyakinan bahawa kepimpinan baharu itu mampu membawa pembaharuan, khususnya dari segi kecekapan pengurusan, tadbir urus yang lebih kukuh serta pendekatan strategik berteraskan kemampanan.

“Bagi kami di peringkat ladang, pelantikan Hazem Mubarak disambut baik dan amat dialu-alukan.
“Ia memberi suntikan motivasi kepada warga kakitangan Ladang Kalabakan untuk terus meningkatkan produktiviti, disiplin serta komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, warga kakitangan Ladang Kalabakan menaruh harapan tinggi agar kepimpinan baharu itu dapat memberi perhatian seimbang antara pencapaian prestasi syarikat dan kebajikan pekerja, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkasa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pemacu ekonomi Sabah.
“Warga kakitangan di ladang sentiasa bersedia menyokong dan menjayakan visi serta dasar yang digariskan oleh pihak pengurusan tertinggi.
“Kami yakin di bawah teraju Hazem Mubarak, Sawit Kinabalu akan terus berkembang sebagai sebuah syarikat yang berdaya saing, mampan dan memberi pulangan optimum kepada negeri,” katanya.
Muhammad Izwan turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri atas kepercayaan yang diberikan kepada Hazem Mubarak untuk menerajui dua GLC strategik Sabah.
Menurutnya, gandingan kepimpinan Hazem Mubarak bersama Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, diyakini mampu memperkukuh pengurusan syarikat serta melonjakkan prestasi Sawit Kinabalu ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya yakin dengan komitmen penuh warga kakitangan Ladang Kalabakan serta kepimpinan mantap di peringkat tertinggi, Sawit Kinabalu akan terus berkembang maju dan kekal sebagai peneraju industri perladangan negeri pada masa hadapan,” katanya.
–TAMAT
