Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pelan pembangunan pelancongan Sabah komprehensif dijangka siap hujung 2026

RASMI: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama tetamu kehormat menyempurnakan majlis perasmian Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, Tuaran, Ahad.

TUARAN,:Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sedang merangka Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah yang komprehensif dan bersifat jangka panjang, dengan sasaran disiapkan sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelan tindakan itu akan menetapkan hala tuju baharu bagi pertumbuhan sektor pelancongan negeri secara menyeluruh, merangkumi aspek kemampanan, hubungan penerbangan, aspirasi rakyat tempatan serta kerangka pembangunan yang melampaui pelan induk terdahulu.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi, di sini, Ahad.

Hajiji berkata, pelbagai program yang sedang dilaksanakan menjadikan Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekaligus membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027.

“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta ketibaan pelawat, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini menjana pendapatan sebanyak RM8.74 bilion dan mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Hajiji menyambut baik kehadiran Hilton Garden Inn sebagai sebahagian daripada komitmen pelaburan berterusan yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 juta, merangkumi pembangunan semasa serta projek-projek Hilton pada masa hadapan di negeri ini.

Beliau berkata, pembangunan itu menyokong beberapa teras utama strategi pertumbuhan pelancongan Sabah, iaitu memperkukuh pilihan penginapan premium dan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan bermakna untuk penduduk tempatan, memperkasa perusahaan berasaskan komuniti melalui rantaian bekalan, serta mempromosikan pelancongan yang menghormati dan memelihara alam sekitar.

“Ini akan terus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sektor pelancongan dan hospitaliti negeri, selain selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri membangunkan industri pelancongan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu pada awal bulan lalu, bersama hotel-hotel yang bakal dibina atau kini berada pada pelbagai peringkat pembinaan seperti Avani, Fairfield by Marriott, Club Med, InterContinental dan Wyndham, memberi isyarat jelas bahawa Sabah kekal sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik bagi pelaburan berkualiti dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Ia juga membuktikan daya tahan serta keyakinan rakan industri kita walaupun berdepan ketidaktentuan semasa,” katanya.

Sementara itu, KePKAS turut terus berusaha mengimbangi aspek kemampanan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, serta memanfaatkan inovasi digital bagi membina industri pelancongan yang berdaya tahan dan bernilai tinggi.

Hajiji turut merakamkan rasa gembira kerana hartanah yang kini dibangunkan semula sebagai Hilton Garden Inn Kota Kinabalu itu terletak di Tuaran, daerah kelahirannya yang telah berkembang pesat dalam pelbagai aspek pembangunan.

“Dengan kedudukannya yang strategik serta tarikan semula jadi yang melimpah ruah, daerah ini mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh, khususnya sebagai hab pelancongan. Pembangunan seperti ini akan melengkapi tarikan sedia ada di Tuaran, menggalakkan lebih banyak ketibaan pelawat serta memberi manfaat kepada perniagaan sekitar, usahawan tempatan dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut menyatakan kepuasan bahawa majoriti pekerja Hilton Garden Inn Kota Kinabalu terdiri daripada penduduk daerah Tuaran sendiri, yang mencerminkan aspirasi bersama untuk memastikan komuniti tempatan menerima manfaat secara langsung daripada setiap pelaburan yang dilaksanakan. “Sesungguhnya, Hilton Garden Inn melambangkan visi bersama kita untuk membangunkan sektor pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang memberi manfaat kepada ekonomi serta komuniti tempatan,”

Exit mobile version