Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Pelan induk hutan Sabah dirangka untuk pengurusan sumber hutan 25 tahun akan datang

PAMERAN: Hajiji meninjau beberapa pameran sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook, pada Sabtu.

SOOK: Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan strategik bagi pengurusan sumber hutan Sabah untuk tempoh 25 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melaksanakan rasionalisasi guna tanah secara seimbang antara pembangunan sosioekonomi dan konservasi alam sekitar.

Katanya, pelan berkenaan akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif atau Ecological Sensitive Area (ESA) terus dipelihara tanpa mengabaikan keperluan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Perkara ini selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antara lain memberi penekanan kepada pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau.

“Kerajaan Sabah sentiasa komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan litupan hutan negeri selaras Dasar Hutan Sabah 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, Sabah ketika ini masih mengekalkan 63 peratus kawasan litupan hutan meliputi kira-kira 3.85 juta hektar yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga komited mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (Totally Protected Area – TPA) bagi memperkukuh pengurusan hutan serta melindungi khazanah biodiversiti Sabah.

Dalam pada itu, katanya, Sabah turut mengenal pasti kira-kira 400,000 hektar kawasan hutan simpan terosot untuk pembangunan ladang hutan seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022–2036.

“Pembangunan ladang hutan ini dilihat sebagai strategi memulihkan produktiviti hutan terosot selain mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli serta memastikan sumber bahan mentah yang mampan,” katanya.

Hajiji berkata, sebagai manifestasi keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, kerajaan Sabah dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration Impact Program – FOLUR IP).

Katanya, program itu melibatkan pengurusan landskap bersepadu meliputi kawasan seluas kira-kira 2.1 juta hektar bagi menyelaras perancangan serta pengurusan guna tanah di Sabah.

“Ia bertujuan membendung kesan penghasilan minyak sawit di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi (High Conservation Value Forest – HCVF) demi manfaat alam sekitar dan pembangunan,” katanya.

Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 56,000 penduduk luar bandar.

Pada majlis sama, Hajiji yang diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menyampaikan sebanyak 1,136 Geran Tanah Adat (NT) bagi kawasan Parlimen Pensiangan melibatkan keluasan keseluruhan 2,303.84 hektar atau 5,692.9 ekar. Daripada jumlah itu, sebanyak 295.51 hektar melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, 948.82 hektar bagi DUN Tulid dan 1,059.51 hektar untuk DUN Sook.

Exit mobile version