Site icon Gabungan Rakyat Sabah

PBS tegaskan keputusan berasaskan prinsip & data, komited kekal bersama GRS : Joachim

Dr. Joachim berucap pada Kongres PBS ke-40 sambil menegaskan komitmen parti untuk kekal berprinsip dan bersama GRS demi kestabilan Sabah.

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa setiap keputusan politik yang dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah berlandaskan prinsip, keperluan kestabilan politik negeri serta analisis teliti terhadap data dan corak pengundian, bukannya dipengaruhi sentimen atau tekanan luar.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, walaupun parti itu berjaya mempertahankan beberapa kerusi dan menunjukkan peningkatan di kawasan bukan tradisi seperti Limbahau, PBS turut mengambil tanggungjawab atas kekalahan di beberapa kubu kuat termasuk Tamparuli.

“Politik sentiasa dinamik. Kekuatan keahlian tidak menjamin kemenangan. Banyak faktor mempengaruhi keputusan rakyat, termasuk perpaduan dalaman, sumber serta perubahan landskap politik,” katanya pada sidang media selepas Kongres PBS ke-40 di Dewan KDCA, di sini.

Dr. Joachim bersama pimpinan parti pada kongres berkenaan.

Beliau berkata, PBS kini memberi tumpuan kepada penilaian pasca pilihan raya untuk memperkukuh strategi baharu khususnya di kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut (KDM), selain memastikan setiap tindakan parti berpaksikan kepentingan jangka panjang Sabah.

Dr Joachim turut menegaskan komitmen PBS untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana gabungan itu dilihat platform paling berkesan bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan pentadbiran negeri.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan analisis menyeluruh, bukan emosi. Banyak isu besar Sabah hanya dapat ditangani secara efektif melalui mekanisme kerajaan sedia ada,” katanya.

Menyentuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menegaskan PBS kekal komited memperjuangkan isu 40 peratus hasil negeri secara tersusun melalui saluran rasmi dan jawatankuasa berkaitan.

“Pengumuman semata-mata tidak memadai. Setiap klausa MA63 mesti dilaksanakan dan hak Sabah dipulihkan,” tegasnya.

Beliau turut menggariskan agenda pembaharuan PBS termasuk pengukuhan penyertaan belia, penglibatan pelbagai kaum, penyertaan golongan profesional, penubuhan Akademi Kepimpinan Belia, serta pendidikan politik di akar umbi bagi menolak politik wang.

“Kongres PBS ke-40 menandakan fasa pembaharuan baharu. Kita mahu parti yang lebih kuat, tersusun dan strategik,” katanya sambil menyeru ahli bertindak secara kolektif demi masa depan Sabah.

Kongres turut dihadiri pimpinan serta perwakilan dari seluruh negeri yang sebulat suara menyokong peranan berterusan PBS dalam GRS.

–TAMAT

Exit mobile version