PBS sokong langkah Kerajaan Negeri pertahan hak 40 Peratus hasil Sabah: Julita

KOTA KINABALU:Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan terhadap langkah Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan Kerajaan Persekutuan bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini.

Setiausaha Agung PBS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki, berkata pendirian tegas kerajaan negeri itu penting bagi melindungi kepentingan Sabah serta memastikan hak perlembagaan negeri terus dipertahankan.

Beliau berkata isu hak hasil Sabah telah lama menjadi perhatian rakyat negeri ini dan proses penyelesaiannya perlu dilaksanakan selaras dengan undang-undang serta peruntukan Perlembagaan.

“Penghormatan terhadap keputusan mahkamah serta penerusan rundingan antara pihak berkaitan mampu membuka laluan kepada penyelesaian yang adil demi kepentingan rakyat Sabah.

“PBS menyokong sepenuhnya langkah Kerajaan Negeri untuk membantah permohonan penangguhan tersebut dan terus mempertahankan hak negeri ini melalui proses perundangan serta perlembagaan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Borneo.

Menurut Julita, parti itu melihat isu berkenaan bukan sekadar perbahasan undang-undang semata-mata, sebaliknya mencerminkan aspirasi lebih luas rakyat Sabah dalam memastikan hak negeri dihormati.

Beliau berkata perkara itu juga berkait rapat dengan keupayaan Sabah memperkukuh kapasiti fiskal serta meningkatkan pembangunan dan perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.

“Tuntutan Sabah bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan pelaksanaan hak yang sewajarnya dimiliki negeri ini di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Julita turut berharap penglibatan secara konstruktif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat diteruskan bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama, sambil memastikan hak Sabah terus terpelihara.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membantah permohonan Kerajaan Persekutuan bagi menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 berkaitan hak Sabah menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang sering dirujuk sebagai “Lost Years”.

Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menjalankan rundingan bagi melaksanakan pemberian geran khas 40 peratus itu dalam tempoh 180 hari, yang akan berakhir pada 15 April 2026.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi perbincangan serta mesyuarat teknikal dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi memudahkan pertukaran maklumat dan menentukan jumlah geran khas tersebut. Beliau menegaskan Sabah akan terus membantah sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi supaya proses yang ditetapkan oleh mahkamah dapat diteruskan seperti yang diarahkan.


Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles