KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah akan terus mengangkat isu pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di persidangan Parlimen sehingga projek infrastruktur utama itu disiapkan sepenuhnya.
Menurut beliau, perkara tersebut penting memandangkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dilihat masih ketinggalan berbanding kemajuan projek sama di Sarawak.
Sehubungan itu, katanya, isu berkenaan akan dibangkitkan sekali lagi dalam perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat Malaysia yang dijadual berlangsung pada Jun depan.
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah perlu disiapkan segera kerana ia merupakan nadi perhubungan utama yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan bersama pengamal media di sini, semalam.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata isu berkaitan projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen kerana beliau mahu menyampaikan suara dan keprihatinan rakyat Sabah mengenai perkembangan projek tersebut.
Menurutnya, beberapa kemajuan telah dicapai hasil daripada isu yang dibangkitkan di Parlimen sebelum ini, namun pemantauan berterusan masih diperlukan bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut perancangan.
“Selepas beberapa kali saya bangkitkan perkara ini di Parlimen, memang terdapat kemajuan dari segi pelaksanaan projek.
“Namun kita akan terus memantau perkembangannya, terutama di kawasan Parlimen Sipitang melibatkan jajaran Sindumin–Melalia–Beaufort,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dapat memberikan maklum balas serta perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan memaklumkan bahawa kerajaan telah mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta terhadap dua kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut beliau, sebanyak 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega tersebut.
“Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak,” katanya.
