KOTA KINABALU: Platform seperti Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian serta memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata platform tersebut membolehkan pelbagai pihak berkepentingan berbincang serta mengambil langkah proaktif dalam menangani isu berkaitan perpaduan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini, di sini pada Isnin.
“Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya.
Menurut Julita, usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik dan pemegang taruh.
“Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kepimpinan di peringkat akar umbi bagi memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa PADUNEGERI berfungsi sebagai forum bagi membincangkan isu berkaitan perpaduan, menjelaskan perkara semasa yang timbul di peringkat akar umbi serta mencadangkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh hubungan antara masyarakat berbilang kaum.
Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif berkaitan perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah bertindak sebagai sekretariat. Julita berharap platform berkenaan dapat terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

