TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan komitmennya untuk menterjemahkan mandat rakyat kepada tindakan dan pencapaian nyata demi pembangunan berterusan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata kemenangan dengan majoriti 4,248 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab serta keikhlasan.
“Sokongan yang diberikan oleh pengundi Apas mencerminkan keyakinan rakyat terhadap usaha, pendekatan dan hala tuju pembangunan yang telah dilaksanakan.
“Ia bukan kemenangan untuk diraikan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab yang mesti dibalas dengan kerja, hasil dan penyelesaian sebenar kepada keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Nizam berkata tumpuan utamanya selepas diberi mandat baharu adalah memastikan pembangunan ekonomi setempat terus diperkukuh, isu-isu asas rakyat ditangani secara berfokus serta peluang pendidikan dan pekerjaan dipertingkatkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, sukarelawan dan penyokong yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen, selain merakamkan terima kasih kepada semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Dalam pada itu, Nizam merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor atas kepercayaan dan kepimpinan beliau yang menurutnya terus diyakini rakyat Sabah.
“Keputusan rakyat jelas menunjukkan pilihan terhadap kestabilan, kesinambungan dan hala tuju pembangunan yang terancang di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Beliau menegaskan pendekatan turun padang, mendengar suara rakyat dan memastikan setiap dasar serta perancangan dilaksanakan secara berkesan akan terus menjadi asas khidmatnya sebagai wakil rakyat.
“Insya-Allah, bersama rakyat Apas, kita akan terus membina masa depan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.
— TAMAT

