KOTA KINABALU: Jalan Gaya Blok D kini dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja-kerja menaik taraf permukaan jalan raya di kawasan berkenaan siap dilaksanakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, mengadakan lawatan tapak bagi meninjau pelaksanaan projek menaik taraf berkenaan di sini, semalam.
Joniston yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, lawatan itu bertujuan memastikan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan serta menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
Menurutnya, infrastruktur awam di kawasan tumpuan pelancong seperti Jalan Gaya perlu sentiasa berada dalam keadaan baik, bersih dan kondusif bagi menyokong aktiviti ekonomi setempat.
“Selain permukaan jalan, kerja-kerja pemangkasan pokok dan tumbuhan liar yang menjalar ke bangunan serta pembersihan menyeluruh kawasan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Ia penting bagi memastikan persekitaran Jalan Gaya kelihatan lebih kemas dan teratur, selaras dengan imejnya sebagai antara destinasi tumpuan utama penduduk dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan semula Jalan Gaya Blok D akan membolehkan penganjuran Pasar Malam Api-Api dan Tamu Minggu Jalan Gaya diteruskan seperti biasa bermula 30 Januari ini.
Menurutnya, pembukaan itu turut memberi manfaat kepada kira-kira 18 penjaja Pasar Malam Api-Api dan 61 penjaja Tamu Minggu Jalan Gaya yang terlibat secara langsung dalam aktiviti perniagaan di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, Joniston menasihatkan semua penjaja dan orang ramai supaya sentiasa mematuhi garis panduan kebersihan serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kawasan itu kekal bersih, selamat dan selesa untuk semua.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon, serta ketua-ketua jabatan dan pegawai DBKK.
–TAMAT

