BINGKOR:Sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian N.40 Bingkor hari ini mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media yang diketuai Naib Ketua Bahagian STAR Bingkor, Danil Palangi, bersama beberapa Ahli Jawatankuasa bahagian.
Danil berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela selepas melalui pertimbangan yang teliti terhadap hala tuju perjuangan politik serta kepentingan rakyat di kawasan Bingkor.
“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan atau desakan daripada mana-mana pihak. Ia merupakan keputusan bersama yang lahir daripada pertimbangan matang demi memastikan perjuangan kami terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai antara individu yang terlibat membangunkan STAR Bahagian Bingkor sejak peringkat awal, mereka berpandangan parti itu tidak lagi dapat memenuhi aspirasi serta harapan sebahagian besar kepimpinan dan akar umbi di kawasan berkenaan.
“Kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan masa depan masyarakat di Bingkor,” katanya.
Menurut Danil, walaupun tidak lagi bersama STAR, komitmen mereka untuk terus mendampingi rakyat dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat akan diteruskan.
“Kami akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan isu-isu masyarakat dalam kapasiti yang bersesuaian. Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti hanya kerana perubahan platform politik,” katanya.
Pada masa sama, Danil menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menurutnya telah membawa pendekatan inklusif, sederhana dan berorientasikan pembangunan.
“Kami melihat kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa mengutamakan kestabilan politik, perpaduan serta pembangunan negeri. Justeru, kami akan terus menyokong segala usaha yang memberi manfaat kepada rakyat dan Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan bersama-sama menyokong agenda pembangunan demi kemajuan Bingkor serta kesejahteraan negeri.

