KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) menerima kunjungan lawatan kerja Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki ke Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), semalam.
Lawatan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian, jabatan serta MPWS dalam memacu agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita di negeri ini.
Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri, MPWS memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan, dengan pelaksanaan melibatkan tujuh jawatankuasa kecil secara inklusif.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program pembangunan kapasiti seperti Sabah Women’s Lab, platform jaringan Engagement with Sabah Women’s Leader, serta program keusahawanan melalui inisiatif GLOW dan Akademi Kepimpinan Wanita (AKWAN).
Pelaksanaan program turut merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi, kesihatan, sosial, undang-undang, gender serta wanita dan media.
Dalam sesi perbincangan, Julita turut menyatakan komitmen tinggi terhadap agenda wanita serta mencadangkan agar produk kraftangan tempatan berkualiti diberi penekanan sebagai usaha memperkukuh ekonomi wanita, khususnya melalui penghasilan produk dari daerah terpilih di Sabah.
Rosmawati (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rina sebagai tanda penghargaan.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.
Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki, menyifatkan lawatan tersebut sebagai langkah signifikan dalam menyelaras usaha serta memperkukuh jaringan kerjasama pelbagai pihak.
“MPWS komited untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat dalam menyokong dasar serta inisiatif yang memberi impak kepada kesejahteraan wanita Sabah, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri,” katanya.
Menurutnya, MPWS akan terus memperhalusi pelaksanaan strategi serta program susulan bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita dilaksanakan secara berkesan, inklusif dan berimpak tinggi.

