KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dicadangkan mempertimbangkan penubuhan sebuah Galeria atau Mini Muzium Penjawat Awam sebagai pusat dokumentasi dan rujukan yang memfokuskan kepada sejarah serta legasi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata galeria berkenaan boleh menghimpunkan pelbagai dokumen bersejarah, teks ucapan, gambar, memorabilia serta rekod pencapaian setiap mantan SKN sebagai khazanah penting perkhidmatan awam negeri.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja berperanan memelihara sejarah dan legasi kepimpinan pentadbiran negeri, malah berpotensi menjadi pusat rujukan bagi pembangunan sektor perkhidmatan awam serta sumber pembelajaran kepada pelajar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Galeria ini boleh mempamerkan segala dokumen, teks ucapan dan memorabilia berkaitan mantan-mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuk rekod pencapaian serta kejayaan yang dicapai mengikut era kepimpinan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi sempena meraikan persaraan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, di sini, Jumaat.
Hajiji berkata, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri dan memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan cekap serta berkesan.
Beliau berkata, sepanjang lebih enam dekad sejak pembentukan Sabah, negeri ini hanya mempunyai 11 orang Setiausaha Kerajaan Negeri, masing-masing meninggalkan sumbangan dan legasi tersendiri kepada pembangunan pentadbiran negeri.
“Setiap mantan Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai kekuatan, pencapaian dan legasi yang wajar dihargai serta didokumentasikan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai Safar, Hajiji berkata beliau telah memberikan sumbangan besar sepanjang enam tahun, tujuh bulan dan 24 hari menerajui perkhidmatan awam negeri.
Menurutnya, Safar bukan sahaja berjaya memperkukuh kecekapan pentadbiran kerajaan, malah memacu transformasi digital melalui pelaksanaan inisiatif Smart Digital Government (Kerajaan Pintar Digital) dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Usaha ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah diperkasakan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, pengalaman luas Safar dalam pentadbiran, pengurusan dan pembangunan tanah turut melayakkan beliau diberikan tanggungjawab baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED).
“Saya yakin syarikat milik kerajaan negeri itu akan memperoleh manfaat yang besar daripada pengalaman dan kepimpinan Datuk Seri Panglima Safar,” katanya.
Pada majlis sama, Hajiji turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

