Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Menteri MYSPACE tinjau latihan Sabah FC, suntik semangat menjelang Perlawanan Akhir Piala FA

Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan beramah mesra dengan pemain Sabah FC ketika meninjau sesi latihan di Stadium Likas, semalam, sebagai sokongan menjelang Perlawanan Akhir Piala FA 2025/26 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MYSPACE), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meninjau sesi latihan Sabah FC di Stadium Likas, di sini, semalam bagi menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada skuad itu menjelang Perlawanan Akhir Piala FA 2025/26.

Lawatan berkenaan diadakan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap pasukan kebanggaan Sabah yang bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 14 Disember ini.

Pada kesempatan itu, Nizam turut mengumumkan sumbangan khas berjumlah RM100,000 kepada Sabah FC sebagai suntikan motivasi tambahan bagi membantu persiapan pasukan menghadapi perlawanan berprestij tersebut.

Beliau berkata, Sabah FC telah menampilkan peningkatan prestasi yang konsisten sepanjang musim ini dan menunjukkan semangat juang tinggi sehingga layak ke pentas final.

“Saya melihat komitmen yang sangat baik daripada barisan pemain dan pegawai kejurulatihan. Kerajaan negeri sentiasa berdiri di belakang Sabah FC serta akan terus menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar memberikan sokongan padu kepada skuad Sang Badak, sama ada dengan kehadiran di stadium atau sokongan moral dari jauh.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap MYSPACE, Datuk Mansur Asun serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang menyatakan keyakinan terhadap keupayaan pasukan menghadapi cabaran besar final tersebut.

Perlawanan akhir Piala FA 2025/26 dijangka menarik tumpuan peminat bola sepak seluruh negara dengan Sabah FC tekad menampilkan aksi terbaik demi mengharumkan nama negeri di pentas nasional.

— TAMAT

Exit mobile version