Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Masiung mahu projek RM350 juta diluluskan dalam RMK-13

SUMBANGAN: Masiung menyampaikan sumbangan kepada Masjid Nurul Saadah Kuamut yang diterima oleh Ketua Anak Negeri (KAN), Awang Bantan, sempena Majlis Kesyukuran PRN-16 dan sambutan Aidiladha di Kampung Kuamut.

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mengemukakan rayuan rasmi agar projek pembinaan jalan raya menghubungkan Kampung Kenang-Kenangan ke Desa Permai bernilai RM350 juta disenaraikan semula dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Masiung berkata, kertas kerja Kajian Separuh Penggal bagi projek berkenaan telah dikemukakan kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada April lalu untuk dipertimbangkan semula.

Menurutnya, cadangan pembinaan jalan raya sepanjang 50 kilometer itu amat penting kerana ia merupakan satu-satunya laluan yang mampu menghubungkan penduduk Mukim Kuamut dengan kawasan luar.

“Kita mengemukakan rayuan rasmi kerana projek ini amat mendesak dan telah lama diperjuangkan sejak saya menjadi wakil rakyat pada 2008.

“Jalan ini menjadi antara keutamaan dalam Kajian Separuh Penggal agar dapat dipertimbangkan semula dan dilaksanakan menerusi RMK-13,” katanya.

PRIHATIN: Masiung menyerahkan sumbangan jersi kepada golongan belia Kampung Kuamut sebagai galakan untuk terus aktif dalam aktiviti sukan dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kesyukuran PRN-16 dan sambutan Aidiladha di Kampung Kuamut, di sini.

Masiung berkata, lebih 2,500 penduduk membabitkan lima kampung di kawasan berkenaan masih berdepan kesukaran untuk keluar masuk berikutan ketiadaan kemudahan jalan raya yang sempurna.

Katanya, penduduk terpaksa bergantung kepada pengangkutan sungai dengan kos bot tambang antara RM500 hingga RM700 bagi setiap perjalanan, selain mengambil masa sehingga tujuh jam untuk ke Pekan Tongod, Bukit Garam atau Kinabatangan.

“Saya bersimpati dengan penduduk yang sudah lebih 60 tahun menunggu kemudahan jalan raya ini.

“Apabila berlaku kecemasan seperti pesakit tenat atau ibu yang mahu bersalin, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang panjang sebelum tiba di hospital,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila projek berkenaan didapati tidak tersenarai dalam data RMK-13 pada awal tahun ini walaupun telah beberapa kali diusulkan, termasuk melalui persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehubungan itu, katanya, beliau akan terus mendesak kerajaan Persekutuan agar menyenaraikan semula projek tersebut dalam Rolling Plan RMK-13 demi kepentingan rakyat di kawasan pedalaman Kuamut.

Menurutnya, cadangan jajaran jalan raya itu bermula dari Kampung Kenang-Kenangan dan merentasi Tulang-Tulang, Tangkuyan, Desa Permai, Kuala Kuamut sehingga ke Tongkong. “Sudah tiba masanya penantian penduduk selama berdekad-dekad ini diakhiri dengan pembinaan jalan raya yang mampu mengubah taraf hidup rakyat serta merancakkan pembangunan di kawasan pedalaman Kuamut,” katanya.

Exit mobile version