KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang baharu dengan taraf Menteri, berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datuk Rubin Balang, ADUN Kemabong, yang kini memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Masiung turut mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi Borneo Cement Sdn Bhd yang disandangnya sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, Masiung merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui SEDCO.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas pelantikan ini. Saya akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab bagi memajukan SEDCO serta menyumbang kepada agenda pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Masiung, 53, pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuamut untuk penggal kelima berturut-turut dengan majoriti 457 undi.
–TAMAT

