Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Masidi terima kunjungan hormat MAFFI, fokus industri padi Sabah

KUNJUNGAN: Masidi menerima kunjungan hormat delegasi MAFFI yang diketuai Jamawi di pejabatnya di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menerima kunjungan hormat delegasi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) yang diketuai menterinya, Datuk Jamawi Jaafar di pejabatnya, pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat oleh Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin mengenai perkembangan semasa industri padi dan beras di negeri ini.

Taklimat berkenaan antara lain menyentuh usaha memperkukuh pengeluaran padi tempatan, meningkatkan tahap keterjaminan makanan serta memperkasa produktiviti sektor pertanian di Sabah.

Masidi berkata, kerajaan negeri kekal komited menyokong pelbagai usaha memperkukuh industri padi dan beras demi memastikan bekalan makanan negeri sentiasa stabil dan mencukupi.

Menurut beliau, sektor pertanian khususnya industri padi dan beras memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negeri selain membantu meningkatkan taraf ekonomi petani tempatan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan sektor pertanian kerana ia merupakan antara sektor penting dalam memastikan keterjaminan makanan serta kesejahteraan rakyat.

“Usaha memperkasa industri padi dan beras perlu diteruskan secara bersepadu melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan berterusan antara semua pihak dalam merangka strategi jangka panjang bagi memperkukuh sektor pertanian Sabah agar lebih mampan dan berdaya saing.

Exit mobile version